Sumber Gianluca Di Marzio melaporkan yang Napoli mulai menyaingi Arsenal dalam perebutan Lucas Torreira. Pemain tengah defensif Sampdoria ini menjadi sasaran Arsenal untuk memperkuatkan bahagian tengah.
Torreira menjadi tumpuan media Eropah selepas aksi cemerlang dalam Serie A musim lalu. Pemain yang berasal dari Uruguay ini baru berusia 24 tahun.
Mungkin ramai pembaca kami tidak tahu banyak tentang pemain ini. Beliau adalah pemain yang memiliki gaya permainan yang tenang di peranan no.6. Boleh menjadi penetap tempo perlawanan.
Torreira juga memiliki kualiti visi hantaran dan kemampuan untuk menjaringkan gol. Beliau menjaringkan 4 gol dan 1 bantuan gol dalam Serie A. Memulakan 36 perlawanan daripada 38 penampilan liga musim lalu.
Beliau akan bermain untuk Uruguay dalam kempen Piala Dunia 2018. Selain daripada Arsenal, Napoli dan Juventus dikatakan berminat dengan pemain ini.
Namun Juventus buat masa ini menumpukan usaha untuk mendapatkan Emre Can yang sah meninggalkan Liverpool secara percuma.
Di Marzio menyatakan yang Napoli menghangatkan usaha mendapatkan Torreira selepas kemasukan Ancelotti. Ini sekaligus memberikan persaingan kepada Arsenal.
Napoli dikatakan mahu menggantikan Jorginho yang dikhabarkan akan menyertai Manchester City.
Klausa perlepasan Torreira hanyalah £22 juta. Namun dengan persaingan daripada beberapa kelab besar, sudah pastinya Sampdoria mengharapkan pasukan yang menawarkan bayaran lebih besar akan mendapat pemain tersebut.
Di Marzio turut menyatakan yang Arsenal masih gagal mencapai sebarang kesepakatan dengan pihak Torreira. Dan beliau buat masa ini meletakkan Napoli sebagai pendahulu dalam persaingan mendapatkan pemain ini.
Torreira juga sudah memberitahu ejen beliau supaya mempertimbangkan sebaik-baiknya tawaran yang ada.