MSL 2018: Perak Kembali Raih Kemenangan Selepas Kecewakan Skuad ‘Jang’ Di Ipoh

Perak

Perak kembali mencatatkan kemenangan untuk melonjak ke tangga kedua saingan unifi Liga Super Malaysia 2018 selepas menumpaskan Negeri Sembilan 2-0 pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Perak, Ipoh sebentar tadi.

Kedua-dua pasukan mencatatkan keputusan seri 1-1 pada pertemuan di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi yang berlangsung pertengahan minggu ini.

Tanpa jaringan di babak pertama

Perak mendominasi permainan pada babak pertama dengan beberapa gerakan menarik berjaya dicipta dalam usaha memburu jaringan pembukaan.

Penjaga gol Negeri Sembilan, Muhamad Ilham Amirullah Razali bertindak cemerlang setelah beliau menggagalkan dua percubaan menarik Perak pada minit ke-12 dan 13 yang dihasilkan Mohd Nor Hakim Hassan dan Wander Luiz Bitencourt Junior.

Skuad pelawat yang berusaha keras untuk memperbaiki kedudukan dalam liga juga turut melepaskan peluang yang terhidang.

Hantaran lintang cantik diilhamkan Mohd Fauzan Dzulkifli tepat mencari Mohd Aizulridzwan Razali yang tidak dikawal pemain pertahanan Perak.

Namun, pertahanan kiri tersebut mensia-siakan peluang yang dimiliki apabila melakukan percubaan meliar walaupun hanya berhadapan penjaga gol Perak, Khairul Amri Salehuddin.

Perak berjaya merobek gawang Negeri Sembilan pada minit ke-28, tetapi Wander Luiz Bitencourt Junior terlebih dahulu dipersalahkan setelah beliau berada dalam keadaan ofsaid.

Dua peluang terbaik daripada Gilmar Jose Da Silva Filho juga masih gagal menemui sentuhan jaringan.

Ledakan dari penjaring terbanyak pasukan itu hanya singgah di palang gol serta tandukannya pada minit ke-36 pula berjaya diselamatkan oleh Aizulridzwan di atas garisan gol.

Brendan Gan & Leandro Dos Santos ubah kedudukan

Memasuki babak kedua, Perak terus garang mencipta peluang bagi menghadirkan jaringan dan usaha mereka menemui hasil pada minit ke-55.

Jaringan berpunca dari kesilapan pertahanan Negeri Sembilan yang gagal mengeluarkan bola dari kawasan bahaya hasil dari sepakan sudut.

Bola yang singgah tepat di kaki Brendan Gan berjaya disudahkan dengan tenang oleh pemain kacukan Malaysia-Australia itu.

Gol tersebut merupakan jaringan sulung peribadi buat Brendan pada musim ini.

Jaringan tersebut ternyata menjadi tonik berguna buat anak buah Mehmet Durakovic bagi terus melebarkan kedudukan.

Leandro Dos Santos Oliveira terus menceriakan penyokong tuan rumah dengan jaringan kedua pada minit ke-84.

Leandro meledakkan rembatan percuma cantik yang sekaligus terus menerjah gawang bagi menamatkan sisa perjuangan Negeri Sembilan.

Keputusan 2-0 kekal hingga tamat perlawanan untuk memberikan kemenangan kelapan buat Perak dalam saingan liga musim ini.

 

Leave a Reply