Napoli berjaya menundukkan Lazio 4-1 di Stadio Olimpico, Rome pagi tadi membolehkan mereka mengekalkan rekod tanpa kalah dalam saingan liga musim ini disamping menduduki tangga teratas Serie A selepas berlangsung lima perlawanan.
Dengan kemenangan tersebut bermakna skuad bimbingan Maurizio Sarri ini telah meraih lima kemenangan pada saingan musim 2017-18 dan menyaksikan kelab tersebut berjaya melakar sejarah pertama kali apabila meraih sepuluh kemenangan berturut-turut dalam saingan Serie A setelah turut memenangi lima perlawanan terakhir liga musim lalu.
Kejayaan tersebut merupakan satu rekod yang belum pernah dikecapi kelab berkenaan sebelum ini.
Napoli kini mengumpul 15 mata untuk berada ditangga teratas Serie A, berkongsi mata dengan gergasi Itali, Juventus namun berkelebihan defisit jaringan.
Pada perlawanan bertemu Lazio, tuan rumah terlebih dahulu dihadapan pada minit ke-29 hasil jaringan pemain pertahanan, Stefan De Vrij yang menerima hantaran ‘cut back’ daripada Ciro Immobile seterusnya melakukan rembatan yang berjaya membolosi gawang Napoli yang dikawal Pepe Reina.
Jaringan penyamaan Napoli terhasil pada minit ke-54 menerusi Kalidou Koulibaly yang menyempurnakan peluang susulan selepas percubaan pertama yang dilakukan Raul Albiol berjaya dihalang penjaga gol Lazio.
Jose Maria Callejon meletakkan pendahulu liga itu dihadapan dua minit kemudian apabila melakukan rembatan yang terus bagi menewaskan Thomas Strakosha di gawang tuan rumah sejurus menerima hantaran dari Marek Hamsik.
Berselang tiga minit selepas jaringan Callejon, giliran Dries Mertens pula meletakkan nama sebagai penjaring buat Napoli apabila berjaya melakukan sepakan melencong yang terus menerjah gawang ketika Strakosha berada dalam keadaan ‘off position’ ketika itu untuk kedudukan 3-1.
Pemain Brazil, Jorginho kemudiannya berjaya menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-90 bagi melengkapkan kemenangan 4-1 tersebut.
Kali terakhir pasukan yang pernah diwakili legenda, Diego Maradona ini tewas dalam saingan liga adalah pada 25 Februari 2017 apabila tewas ditangan Atalanta dengan keputusan 2-0.
Sumber :
Goal (2017) – http://www.goal.com/en-my/news/napoli-sets-club-first-in-win-over-lazio/dz9bw9zqgqx21kf0q3arf65zg