Radja Nainggolan memang dikenali dengan sikapnya yang lantang. Beliau bukan sahaja keras di atas padang, malah ketika mempertahankan pandangan beliau pun Nainggolan tegas.
Sikapnya itu seringkali tidak disenangi ramai pihak tetapi bagi Nainggolan, itu lebih baik daripada hipokrit.
Dipetik daripada temu ramah dengan laman digital Romanisti. Nainggolan bercerita tentang banyak perkara. Berikut adalah sedikit rangkuman:
Impian bersama Roma
“Saya mendapat banyak tawaran di dalam karier saya. Tetapi saya merasakan tawaran daripada Roma adalah lebih daripada tawaran yang lain.”
“Saya dan Spalletti sangat rapat, dia juga membuatkan saya menjaringkan gol lebih semulajadi musim lalu, tetapi buat masa ini saya mahu kekal di sini, saya sayangkan bandar ini.”
“Saya juga menerima banyak tawaran juga pada pra-musim ini, tetapi saya tidak terfikir langsung untuk meninggalkan Roma.”
“Misi saya adalah untuk menjadi lebih baik daripada musim lalu. Saya mahu menang sesuatu dengan pasukan ini, dalam jersi ini ini dan logo ini.”
“Itu emosi yang sukar saya jelaskan dan saya berharap kami akan meraikan sesuatu nanti.”
“Banyak perkara yang saya suka. Saya suka cara hidup di sini, masyarakatnya. Saya bukannya idola di sini, tetapi di sini, apabila anda menghormati orang lain, anda akan dihormati juga.”
Posisi dan peranan
Bercerita tentang keinginan beliau melakukan gol di dalam padang, Nainggolan tahu ramai pihak mempertikaikan beliau yang suka melakukan cubaan jarak jauh dan dianggap terlalu tamak untuk menjaringkan gol.
Bagi Nainggolan, beliau melakukan perkara itu untuk pasukan dan seorang penyerang pun tidak akan menjaringkan gol dalam setiap satu percubaan mereka.
“Jadi, adakah orang yang bermain di posisi saya ni dilarang untuk menjaringkan gol? Menjaringkan gol adalah pengalaman yang indah dan saya rasa saya ada kemampuan semulajadi untuk melakukannya. Ia satu kepuasan peribadi.”
“Namun, menjaringkan gol untuk membantu pasukan menang adalah lebih penting daripada kepuasaan peribadi.”
Beliau memberitahu yang musim 2016/17 adalah antara musim terbaik beliau di dalam karier.
“Saya akui, musim lalu adalah antara musim terbaik di dalam karier saya. Saya menjaringkan banyak gol terutama sekali dalam perlawanan besar.”
Beliau juga menjawab soalan yang menyatakan beliau awalnya tidak gemar dengan peranan pemain tengah serangan yang diberikan Spalletti kepada beliau musim lalu. Beliau pernah berbabalah dengan pengurus tersebut kerana merasakan dirinya bermain di posisi yang salah.
“Musim lalu, ramai menyatakan saya beraksi di posisi salah tetapi saya tetap berusaha.”
“Saya berusaha untuk memahami peranan saya di dalam padang. Saya bukan ‘trequartista’. Pemain yang bermain peranan itu seperti Ronaldinho.”
“Peranan saya musim lalu memang kerana Spalletti yang ciptakan untuk saya dan ia menjadi untuk saya.”
“Musim ini saya kembali kepada peranan lama saya dan ia memang sempurna untuk saya. Jadi tak perlu bincang pasal ini lagi.”
Pemain tak suka taktikal Di Francesco?
Wartawan bertanya tentang tuduhan beberapa media yang menyatakan pemain Roma musim ini tidak gembira dengan jurulatih baru, Di Francesco kerana dianggap seorang yang tidak cukup bagus.
“Ini bola sepak. Anda pun tahu bagaimana ia berjalan. Siapa kata kami pemain Roma tidak percayakan jurulatih kami, anda sedang bercakap sampah (sh**).”
“Ya, musim lalu musim yang bagus dengan banyak mata dikutip. Tetapi cerita itu sudah ditutup. Ada beberapa pemain penting juga pergi. Kami juga melakukan beberapa perubahan dengan beberapa perkara baru.”
“Itu memerlukan sedikit masa untuk kami menjadi pasukan yang dimahukan jurulatih.”
Beliau juga menafikan yang pemain Roma tidak gembira dengan formasi 4-3-3 di bawah Di Francesco.
“Beza yang paling ketara adalah karakter pemain. Misalnya Defrela, dia pemain penyerang dan berkorban masa untuk belajar cara untuk bertahan. Dia memiliki saiz yang bagus untuk bertahan.”
“Allison tidak merungut langsung bermain banyak perlawanan dan musim ini pun sama. Apa sahaja yang kami lakukan, kami tetap satu pasukan.”
“Jurulatih kami pun sama, dia pun mahu kami bermain baik dan kami di belakang beliau. Cuma kadangkala kami gagal mendapatkan keputusan terbaik.”
“Hari itu di Bergamo, kami main buruk dan kami menang tetapi semua pihak memuji kami. Menentang Inter kami bermain lebih baik dan kalah, terus keluar pihak yang meragui keupayaan kami.”
Pandangan tentang Serie A
“Liga Itali telah bangkit semula. Dan lebih banyak keseimbangan di dalam persaingan. Ada juga pasukan yang kuat seperti Juventus. Mereka kalah 3-0 hari itu di tangan Barcelona tetapi mereka masih pasukan yang kuat.”
“Selain Juve saya juga memilih pasukan Napoli sebagai salah sebuah pasukan kuat.”
Wartawan kemudian bertanya, adakah Nainggolan masih merasakan Juventus pasukan yang kotor. Beliau pernah berkata begitu tetapi tidak mahu mengulangi kembali ayat tersebut.
“Saya tak pernah ulangi lagi ayat itu. Saya cuma meluahkan benda yang saya rasa. Ianya bermula ketika saya di Cagliari. Saya melihat perangai beberapa pemain mereka ke atas pengadil.”
“Pengadil kadangkala terlalu berlembut. Mereka mendapatkan 2 penalti dengan mengerumuni pengadil. Insiden berlaku di luar kotak penalti. Cerita itu tak berubah. Jika ada mereka (Juventus) menyerang saya, saya akan jawab benda yang sama.”
“Ketika saya menjaringkan gol ke atas Juventus saya menjerit, sh*t, sh*t sepanjang perlawanan.”
“Antara menjaringkan gol menentang Juve atau Lazio mana satu saya paling suka? Saya lebih suka kalau gol saya memberikan kemenangan.”