Nafuzi Zain sifatkan rehat tiga minggu memang menjejaskan sedikit pemain, namun paling penting Terengganu FC telah layak ke suku akhir TM Piala Malaysia 2020.
Terengganu dilihat bergelut hampir keseluruhan perlawanan biarpun mendahului aksi menerusi jaringan Sanjar Shaakhmedov pada minit ke-37. Tiada apa yang menarik mampu dijelmakan oleh barisan pemain kendaliannya sepanjang 90 minit, malah PJ City tampak lebih berbahaya tatkala melakukan tekanan dan serangan.
Ini diakui pengendali, Nafuzi Zain yang mana menurutnya rehat panjang sebelum ini – selepas liga berakhir, sedikit sebanyak memberikan kesan kepada tempo permainan pasukannya dan juga sentuhan penyerang utama, Dominique da Sylva.
“Memang Dominique tidak menjaringkan gol. Tetapi saya nampak mungkin selepas tiga minggu kita tiada perlawanan, dari segi kecergasan perlawanan, tempo, nampak agak bergelut untuk menyesuaikan diri dari awal. Walaupun Dominique tidak menjaringkan gol, pemain-pemain lain juga mampu menjaringkan gol.
“Yang penting, kita melayakkan diri ke suku akhir,” jelas Nafuzi Zain mengenai prestasi penyerangnya itu dan juga keseluruhan skuad untuk perlawanan malam ini.
Bercakap tentang lawan, PJ City, beliau berkata dalam sidang media, “PJ City adalah lawan yang sukar buat kita. Selepas berehat tiga minggu, untuk kembali bermain, dari segi momentum [permainan] pasukan itu agak sukar.”
“Tetapi saya sangat gembira dengan karekter yang pemain saya tunjukkan. Kita tahu, PJ City adalah pasukan yang memiliki fizikal yang lebih baik berbanding kita dan bagus dari segi bertahan, serangan balas mereka juga bagus, tetapi pemain-pemain terus fokus dan berdisiplin pada malam ini,” tambah Nafuzi Zain lagi.
37' | GOL SANJAR!@FCTerengganu membuka tirai jaringan menerusi jaringan Sanjar Shaakhmedov.#TMPialaMalaysia2020#TERPJC#MFLLive pic.twitter.com/YVyAw4lCLU
— MFL LIVE (@MFL_Live) November 7, 2020
Mujur buat Terengganu adalah kesilapan pertahanan lawan, Kim Bong-jin yang melakukan kesilapan besar dengan membuat hantaran terus kepada Sanjar Shaakhmedov yang berada di dalam kotak penalti mereka dan terus dihukum.
Jika tidak kerana peluang keemasan tersebut dan sentuhan penyudah yang baik oleh Sanjar Shaakhmedov, berkemungkinan besar perlawanan pada malam tadi akan berakhir tanpa jaringan dan mungkin penalti yang bakal menjadi penentu pasukan yang mara ke suku akhir sama ada Terengganu atau PJ City.
Mereka juga perlu berterima kasih kepada penjaga gol berusia 19 tahun, Rahadiazli Rahalim yang sepanjang perlawanan cemerlang menafikan sekurang-kurangnya tiga peluang terbaik yang dimiliki oleh The Phoenix untuk menghasilkan gol.
Selepas ini, Terengganu akan bertemu Perak di peringkat suku akhir dan pastinya bukan sahaja kedua-dua pasukan sangat menantikan perlawanan tersebut, malah penyokong juga tidak sabar untuk melihat semula pertembungan dua finalis pada musim 2018 – Perak menang dan menjulang kejuaraan musim itu.
KREDIT FEATURED IMAGE: TERENGGANU FC
Baca lagi artikel tentang Nafuzi Zain dan Piala Malaysia 2020:
Piala Malaysia 2020: Hatrik ‘Budak Nakal’ Beri Kemenangan Selesa Buat Perak