Nafuzi Zain Yakin Pemain Terengganu Boleh Beri Saingan Hebat Kepada JDT

Nafuzi Zain

Pengendali Terengganu, Nafuzi Zain melihat para pemainnya mampu memberikan saingan yang sengit kepada Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam aksi separuh akhir pertama Piala Malaysia 2021 malam ini.

Beraksi di laman sendiri terlebih dahulu, Nafuzi berharap para pemainnya akan memberikan persembahan cemerlang dan berusaha mendapatkan bekalan selesa untuk dibawa ke Johor pada aksi timbal balik.

“Dalam saingan liga musim ini pun kita sudah biasa bertemu [dengan JDT] jadi ia memberi sedikit keyakinan kepada pemain untuk tidak gugup dan bermain dengan cemerlang,” ujar Nafuzi menerusi BERNAMA.

Nafuzi menyedari yang JDT merupakan pasukan yang cukup kuat, jadi ketelitian dalam taktikal amat penting untuk memastikan mereka berjaya merobek gawang Harimau Selatan.

Nafuzi juga memberi bayangan yang benteng pertahanan Terengganu akan kembali dikuatkan dengan kehadiran Carli de Murga.

Pemain import itu kembali menjalani latihan dan mungkin akan diletakkan terus ke kesebelasan utama malam ini.

“Saya belum tentukan kesebelasan utama tetapi Carli de Murga sudah kembali menjalani latihan bersama pasukan dan kita akan tengok macam mana.”

Terengganu kini dalam usaha untuk kembali semula ke perlawanan akhir Piala Malaysia selepas sebelum ini mereka berjaya melakukannya pada 2018.

Nafuzi pula bercita-cita untuk memenangi Piala Malaysia sebagai jurulatih pada tahun ini selepas melakukannya sebagai pemain tepat pada 20 tahun lepas iaitu 2001.

Leave a Reply