“Itu normal,” ungkap Nafuzi Zain mengenai kegagalan penyerangnya, Dominique da Sylva yang gagal meledak gol dalam aksi menentang Melaka United, malam tadi.
Selepas melalui empat perlawanan tanpa kalah, Terengganu FC telah tunduk kepada Melaka United 0-1 dalam aksi CIMB Liga Super 2020. Ia juga menamatkan rentetan dua kemenangan tanpa bolos pasca COVID-19 yang dilalui mereka.
da Sylva mungkin kurang fokus
da Sylva telah menyumbang tujuh gol buat Terengganu selepas lima perlawanan dan semua menjangkakan yang beliau akan terus merobek gawang lawan namun segalanya tidak menjadi dan Sang Penyu akhirnya berputih mata.
Mengulas mengenai prestasi da Sylva, Nafuzi Zain berkata yang beliau berpuas hati dengan apa yang telah dipamerkan oleh penyerang berasal dari Mauritania itu, namun mungkin penyerang tersebut sedikit kehilangan fokusnya.
“Itu normal. Penyerang kalau tidak jaring gol, akan dikatakan tidak mempamerkan aksi baik. Tetapi secara keseluruhannya, persembahan da Sylva sebelum ini dan malam ini, sama sahaja. Mungkin, da Sylva sedikit hilang fokus,” jelasnya.
Ujar Nafuzi Zain lagi, “Saya berpuas hati dengan permainan berpasukan kita tetapi keputusan perlawanan mengecewakan. Kita bermain seperti yang kita rancang. Kita melakukan kesilapan mudah memberikan kemenangan kepada Melaka.”
Faris Ramli kurang cergas
“Cuma kita tahu, perlawanan dengan Melaka ini sukar untuk kita dan juga mereka. Kita juga sukar untuk mencipta peluang dan bermain di padang yang licin adakalanya menjejaskan sedikit pergerakan kita,” jelas Nafuzi Zain lagi.
Pengendali berusia 41 tahun itu dilihat membuat sedikit perubahan di jentera sayap Terengganu apabila tidak menyenaraikan penjaring gol minggu lalu, Faris Ramli.
Kehilangan pencipta deretan peluang buat mereka itu dilihat menjejaskan rentak Terengganu pada malam ini dengan pemain muda Azalinullah Alias juga mungkin gagal mencapai tahap yang dimahukan oleh pengendalinya itu.
“Faris Ramli sebenarnya tidak cergas sepenuhnya. Kalau diikutkan dia tidak sepatutnya tidak diberikan peluang bermain [hari ini],” maklum Nafuzi Zain sambil berkata yang pemain berusia 28 tahun itu amat penting buat mereka.
Penutup
Nafuzi Zain tidak mahu memandang ke belakang dan akan terus melihatkan baki saingan Liga Super musim ini. Selepas ini, Terengganu akan berdepan pendahulu liga, Johor Darul Ta’zim (JDT) di halaman sendiri, pada minggu depan.
“Normal untuk JDT menang 7-0. Kita tahu kualiti pasukan JDT. Bukannya tugas mudah untuk kita tetapi kita akan cuba yang terbaik bermain di tempat sendiri. Kita ada masa seminggu lagi untuk bersedia berdepan dengan JDT,” ujarnya.
KREDIT FEATURED IMAGE: TERENGGANU FC