Seperti biasa, pengendali Terengganu FC, Nafuzi Zain apabila ditanyakan potensi skuadnya ke pentas final, jawapan yang diberikan sangat merendah diri, iaitu beliau hanya fokus satu perlawanan ke satu perlawanan.
Bukanlah tidak mahu ke pentas final tetapi itulah fokusnya saat ini termasuklah tidak memilih untuk bertemu pasukan mana di peringkat suku akhir. Sama ada KL City FC atau Sri Pahang, itu tiada dalam fikirannya saat ini.
Menang selesa 3-1 ke atas Selangor FC, Terengganu berada di kedudukan teratas Kumpulan B dengan mata maksimum – 15 mata daripada lima perlawanan, enam mata di depan lawannya itu dan sah bergelar juara kumpulan. Namun, Nafuzi Zain tetap memilih untuk masih merendah diri akan kemampuan skuadnya itu.
📊 KEDUDUKAN PERINGKAT KUMPULAN – PM5
Kuala Lumpur City FC dan Sarawak United FC telah menempah slot ke suku akhir Piala Malaysia!#TMPialaMalaysia2021 pic.twitter.com/d7vqwk5WFT
— Malaysian Football League (@MFL_MY) November 7, 2021
Menurut pengendali berusia 43 tahun itu, skuad kendaliannya tiada pemain-pemain bintang seperti pasukan lain yang harus dijadikan pilihan, malah mereka sedang melalui masalah kecederaan beberapa tonggak utama.
Di saat penjaga gawang, Suhaimi Husin dilihat kembali mengukuhkan benteng akhir, mereka dilihat turun tanpa kapten, Carli de Murga, Lee Tuck dan Makan Konate, selain kehilangan pemain-pemain simpanan terbaik seperti Hakimi Abdullah, Azam Azmi Murad dan Nik Akif Syahiran yang terlibat tugasan bersama skuad b-22 negara.
Apa yang melegakannya adalah pemain-pemain sedia ada melakukan tugasan sebagaimana yang mereka rancang dan boleh mengikut perancangan pasukan sehingga nampak tidak terjejas langsung permainan.
“Kita pun ramai pemain tiada seperti Lee Tuck, [Carli] de Murga dan beberapa pemain. Apa yang penting, pemain ikut taktikal. Faham dan ikut,” ungkap Nafuzi Zain dalam sidang media sejurus perlawanan tersebut berakhir.
“Mungkin orang lihat pasukan kita menang, kita dah bagus, tetapi saya kenal pemain-pemain saya. Banyak lagi perkara yang perlu diperbaiki. Bagi saya, Terengganu adalah pasukan yang baru dibentuk,” tambahnya lagi.
” [Skuad Terengganu] Lebih kecil berbanding pasukan lain yang ada pemain bintang, kita cuma biasa-biasa. Yang penting dalam padang, [pemain beri] komitmen,” jelasnya lanjut mengenai skuad kendaliannya musim ini.
Terengganu mencatat kemenangan kelima berturut-turut melalui gol Faisal Halim dan dua gol daripada penyerang, Jordan Mintah. Shahrel Fikri Fauzi pula meledak gol saguhati untuk Selangor pada minit ke-84.