Editorial SB: Jaga Kebajikan Pemain Sewaktu Mereka Sakit & Sihat

Editorial SB Liga Malaysia

Nota editor: Siri Editorial SB kembali lagi dengan kami akan memberikan pendirian mengenai isu-isu semasa bola sepak tempatan setiap minggu. Ikuti siri ini setiap Isnin dan lontarkan pendapat anda di ruangan komen.


Minggu lalu, kecoh mengenai isu tentang kebajikan pemain dalam kalangan pemain Liga Malaysia.

Ianya mendapat perhatian meluas dan ramai memberikan reaksi mereka terhadap isu ini.

Kami juga tertarik melihat apa yang berlaku, dan pada kami ini adalah salah perkara asas yang sudah lama membarah dalam bola sepak Malaysia.

Isu kebajikan pemain ini bangkit kerana terdapat sedikit twist di dalamnya kerana ianya melibatkan bintang yang sedang mengalami kanser.

Ttapi, jika kita lihat semula, adakah pasukan Liga Malaysia benar-benar menjaga pemain mereka sama ada menghidap kanser atau tidak?

Kami semestinya bercakap mengenai isu tunggakan gaji yang nampak gaya tak akan selesai sampai bila-bila.

Kelab bola sepak ditadbir ibarat sama dengan mana-mana syarikat yang dibuka. Pemain dianggap sebagai pekerja sementara pasukan dianggap sebagai majikan atau syarikat.

Jadi, adalah menjadi tanggungjawab syarikat untuk menjaga kebajikan pemain dan tidak menafikan hak mereka sepanjang mereka bergelar staf di sana.

Sedangkan diluar dunia bola sepak, amat mendukacitakan apabila kita mendengar ada pekerja yang tidak menerima gaji selepas membanting tulang untuk syarikat.

Perkara ini tidak terkecuali dalam bola sepak juga. Oleh itu, kami berasakan amat penting pasukan menjaga kebajikan pemain yang paling asas iaitu pembayaran gaji mereka.

Pemain juga perlu pastikan dalam rundingan kontrak terdapat klausa atau tindakan yang sewajarnya sekiranya perkara luar jangka berlaku kepada mereka.

Hal ini kerana bagi mengelakkan pasukan akan lepas tangan sekiranya terjadi apa-apa kepada mereka.

Pemain boleh mengambil jalan yang murni dengan tidak menerima gaji jika mereka dalam keadaan cedera atau sakit seperti yang pernah dibuat oleh Kaka dulu.

Namun melihat kepada keadaan pasukan di negara kita, adalah sukar untuk pemain berbuat demikian kerana mereka sudah melakukannya dalam diam.

Jadilah ‘ibu bapa’ yang tegas

Kami juga berpendapat yang pihak pentadbir liga dan bola sepak negara haruslah menjadi ‘ibu bapa’ yang tegas kepada pasukan-pasukan di negara kita ini.

Contohnya adalah dengan berlaku tegas dengan peraturan yang digubal demi menjaga kualiti ekosistem bola sepak negara.

Langkah yang tegas perlu diambil dan janganlah terlalu berlembut dengan pasukan sehinggakan mereka ‘naik minyak’ sehingga kebajikan pemain tidak dijaga.

Bak kata pepatah Melayu, sayang anak tangan-tangankan.

Apalah guna jika pelbagai peraturan dirangka mengikut standard liga-liga utama dunia tetapi pelaksanaannya tidak dilakukan dengan baik?

Bola sepak kita ini perlukan ketegasan dari pihak yang sepatutnya untuk memastikan ianya berjaya.

Jika tidak tegas, semua impian akan menjadi angan-angan sahaja.

Leave a Reply