Jurulatih skuad bawah 23 (B-23) Malaysia iaitu Nafuzi Zain dianggap individu paling tepat untuk jawatan tersebut jika dilihat pada reputasi serta personaliti dimiliki beliau untuk membangunkan pemain pelapis Harimau Malaya.
Kenyataan itu dikeluarkan sendiri oleh jurulatih berpengalaman tempatan, Nidzam Jamil dengan beliau menyifatkan ia keputusan tepat dilakukan untuk meletakkan Nafuzi selaku pengendali skuad B-23 kebangsaan.
Jika dilihat kembali pada perjalanan lalu Nafuzi, jelas jurulatih kelahiran Kelantan itu gemar menggunakan pemain-pemain muda tempatan dan disesuaikan oleh taktikal permainannya di atas padang.
Apatah lagi prestasi semasa skuad pembangunan kebangsaan sebelum ini tampil kurang memberansangkan walau memiliki beberapa pemain muda berkualiti untuk diketengahkan.
Jelas Nidzam, bekas jurulatih Kedah itu mempunyai karakter serta idea cukup berkualiti untuk diterjemahkan dalam permainan bersama skuad B-23 yang akan ditunjangi pemain-pemain muda negara.
Dengarkan temu bual eksklusif bersama Ketua Jurulatih B-23 Kebangsaan, Nafuzi Zain.
Tonton video ini di Youtube FAMTV Malaysia di https://t.co/nu1q5twRVt
#FAM #HarimauMalaya pic.twitter.com/VwNLuSwQin— FA Malaysia (@FAM_Malaysia) January 27, 2025
“Tahniah untuk Nafuzi, saya rasa beliau ada karektor yang bagus ada idea yang menarik. Personalitinya bagus untuk skuad tersebut.
“Kita tahu Nafuzi antara (jurulatih) yang menyukai pemain-pemain muda. Saya rasa itu bukan satu kesukaran buat beliau,” kata beliau menerusi laporan dikeluarkan oleh Harian Metro.
Pada masa sama, Nidzam turut menyeru supaya semua pihak dapat memberi sokongan buat Nafuzi serta masa untuk beliau membentuk pasukan lebih mantap bagi mengharungi beberapa kejohanan akan datang.
“Cuma saya harapkan kita beri beliau masa, beri beliau sokongan supaya beliau dapat menjadikan skuad B-23 itu skuad kedua selepas skuad senior yang juga berjaya. Yang penting kita terus menyokongnya,” kata Nidzam akhir sekali.
Sebelum ini, rekod menyaksikan beliau berjaya memacu Terengganu dan Kedah dengan sangat baik di pentas Liga Super menerusi corak permainan berkualiti ditampilkan jurulatih tersebut.
Selain menumpukan pada kualiti kawalan bola, Nafuzi juga berupaya memastikan corak permainan menarik dapat disajikan kepada peminat sehingga mereka menggelarkan ianya sebagai ‘Nafuzi Ball’.
Sudah tentu harapan penyokong kini supaya lebih ramai pemain-pemain muda berkualiti dapat diperkenalkan sebagai pelapis terbaik untuk skuad Harimau Malaya pada masa akan datang.
Malah, ia juga dianggap sebagai cabaran Nafuzi untuk memastikan mereka mampu memberi persaingan kepada pemain senior yang lain pada suatu hari nanti demi menaikkan lagi bola sepak Malaysia.