Nafuzi Zain boleh dikatakan telah pun mengharungi musim ini dalam saingan Liga Malaysia (Liga-M) selaku jurulatih tempatan dengan sangat baik.
Berkat kesabaran beliau selama beberapa musim untuk membentuk Terengganu menjadi satu pasukan yang diingini beliau jelas membuahkan hasil sejak tahun lalu sehingga kini.
PEMENANG 🏆 ANUGERAH BOLASEPAK KEBANGSAAN 2022
JURULATIH TERBAIK
NAFUZI ZAIN (TERENGGANU FC) ⬜️⬛️#ABK22 pic.twitter.com/HHIzQ54WMZ
— Malaysian Football League (@MFL_MY) December 15, 2022
Terbaharu, Nafuzi berjaya merangkul gelaran Jurulatih Terbaik bagi Anugerah Bolasepak Kebangsaan (ABK) 2022 selepas tampil menonjol membawa Terengganu selaku salah satu pasukan terkuat dalam Malaysia.
Bersama Terengganu musim ini, Nafuzi berjaya membawa pasukan itu muncul selaku naib juara Liga Super 2022, finalis Piala FA, serta menempah slot ke saingan Piala AFC 2023.
Kejayaan yang dilakar oleh Nafuzi itu bukan sahaja mengangkat nama beliau, malah pemain bawah kendaliannya seperti Faisal Halim dan Azam Azmi Murad juga dilihat sangat menyerlah.
Walaupun begitu, jodoh Nafuzi bersama Terengganu tidak berpanjangan selepas pengendali tersebut kini sah menjadi milik Kedah Darul Aman (KDA).
Segalanya berlaku selepas Nafuzi merasa kecewa tentang pengurusan yang dilakukan kelab mengenai tawaran kontrak dan ia terjadi ketika saingan liga masih lagi berlangsung.
“Saya jurulatih pertama di Malaysia yang hanya terima surat tawaran melalui kitman di padang, tanpa perbincangan dua mata,” jelas Nafuzi sebelum itu selepas urusan kontraknya dilihat tidak dipandang serius oleh pengurusan.
Selain Nafuzi, pemain lain seperti Faisal Halim juga meluahkan rasa kecewa tersebut, selepas beliau lantang mengkritik perkara itu sebelum ini mengenai sikap pengurusan yang membuatkan dirinya merasa sangat kecewa.
“Pengurusan Tak Profesional” – Nafuzi Kecewa Terengganu Hantar Kontrak Baharu Guna ‘Kitman’ Sahajahttps://t.co/jOYg3wHArq
— Semuanya BOLA (@mysemuanyabola) November 13, 2022
Terengganu kini sudah pun melantik Tomislav Steinbruckner selaku pengendali baharu mereka musim depan bagi menggantikan khidmat Nafuzi.
Namun segalanya tidak sama lagi, dan pasukan tersebut perlu memulakannya semula untuk menyerap falsafah daripada Tomi dengan pendekatan mungkin agak berbeza.
Melihat kepada situasi Nafuzi ketika ini yang dianggap sangat cemerlang sebagai jurulatih tempatan, adakah pihak pengurusan Terengganu merasa sesal melepaskannya?
Seperti diketahui, Nafuzi merupakan seorang jurulatih yang sangat sistematik dan bijak membuat rencana awal dalam persiapannya untuk pasukan.
Situasi ini boleh dilihat oleh KDA yang sudah pun menandatangani dua khidmat pemain import tengah untuk melancarkan falsafah ‘Nafuzi Ball’.
RASMI: Nafuzi Zain Kini Sah Dilantik Sebagai Jurulatih Baharu Kedahhttps://t.co/nBMfjSpDdg
— Semuanya BOLA (@mysemuanyabola) December 6, 2022
Jika KDA mampu bersabar dengan proses yang akan diterapkan oleh Nafuzi untuk tempoh beberapa tahun tanpa sebarang gangguan, maka ia cukup untuk memastikan Terengganu sesal kerana melepaskan beliau.