Pemain yang hampir menyertai Liverpool pada musim lalu, Nabil Fekir akhirnya mengubah angin dalam karier bola sepak beliau apabila memilih untuk meninggalkan kelab Perancis, Lyon.
Fekir, 26 tahun, menjadikan Sepanyol sebagai destinasi seterusnya setelah melengkapkan perpindahan bernilai sekitar £20 juta untuk bersama Real Betis.
Kenyataan rasmi yang dikeluarkan Real Betis menjelaskan bahawa Nabil Fekir telah memeterai kontrak selama empat tahun.
Pada musim lalu, Fekir berjaya menjaringkan 12 gol dalam 39 penampilan bersama Lyon dan membantu kelab tersebut menamatkan saingan Ligue 1 di tangga ketiga selepas mengumpul 72 mata.
Selepas Liverpool terlepas untuk mendapatkan khidmat Fekir, keputusan ini boleh dikatakan amat mengejutkan kerana Arsenal juga dikatakan berminat untuk membawa masuk pemain antarabangsa Perancis ini ke Stadium Emirates.
Penghijrahan bekas kapten Lyon itu ke Sepanyol menjadikannya sebagai pembelian keempat buat kelab tersebut bagi menghadapi musim 2019/20.
Real Betis sebelum ini telah merekrut Juanmi (Real Sociedad), Dani Martin (Sporting Gijon) dan Alfonso Pedraza (pinjaman – Villareal)
Dalam pada itu, Real Betis juga dikatakan bersetuju untuk membawa masuk adik kepada Fekir iaitu Youssef dan kemudiannya akan meminjamkannya ke kelab divisyen dua di sana.
Dengan harga yang boleh dikatakan berpatutan, Real Betis amat beruntung kerana berjaya mendapatkan pemain yang cukup berkualiti dengan nilai sedemikian.
Kredit foto: Real Betis