Quantcast

BERITA

De Gea Mahukan Lilitan Kapten Man Utd Tatkala Kontrak Baharu 6 Tahun Semakin Hampir

David de Gea dilaporkan mahukan lilitan kapten Manchester United menjadi miliknya, tatkala kontrak jangka masa panjang semakin hampir dipersetujui.

Penjaga gol berusia 28 tahun itu dikatakan akan menerima kontrak jangka masa panjang selama 6 tahun, yang akan menjadikan De Gea sebagai penjaga gol yang menerima gaji tertinggi di dunia.

Sehingga kini, pengurus Manchester United, Ole Gunnar Solskjaer belum lagi menamakan kapten kelab tersebut secara tetap setelah Antonio Valencia meninggalkan Old Trafford pada penghujung musim lalu.

Calon yang layak

De Gea kini boleh dianggap sebagai watak senior di Old Trafford setelah beraksi selama lapan tahun bersama kelab Mancester itu. Ia sekaligus melayakkan dirinya sebagai salah seorang calon untuk lilitan tersebut.

“Saya menjadi kapten untuk beberapa perlawanan [Manchester United] sebelum ini,” ujar penjaga gol antarabangsa Sepanyol itu.

“Sudah tentu ia adalah perkara yang mengujakan untuk menjadi kapten sebuah pasukan seperti Manchester United, dan berjuang demi lencana ini.

“Ia menakjubkan, dan sudah tentu saya akan amat, amat gembira jika diberikan peranan sebagai kapten.”

Konsistensi

De Gea adalah antara pemain yang menampilkan prestasi konsisten selepas persaraan Sir Alex sebagai pengurus pada 2013. Itu adalah kali terakhir juga Manchester United bergelar juara Liga Perdana Inggeris.

Malah penjaga gol ini turut berada di dalam senarai Pasukan Tahunan PFA selama lima musim berturut-turut sebelum ini, selain dariapada dipilih sebagai pemain terbaik Manchester United selama empat musim berturut-turut.

Namun musim lalu, beberapa kesilapan berprofil tinggi menyebabkan prestasi lalu seakan-akan dilupakan. Musim 2018/19 juga adalah musim yang paling sukar buat De Gea dan Manchester United yang menamatkan saingan di tangga ke-6, dan dibolosi 54 gol.

“Kami harus memperbaiki diri dengan banyak. Kami adalah Manchester United; kami harus berjuang untuk memenangi trofi,” tambah De Gea lagi.