Chant Penyokong Schalke 04 Yang Ada Nama Nabi Muhammad SAW

Nabi Muhammad SAW dan bola sepak mungkin dua subjek asing yang tak pernah dibincangkan dalam satu artikel. Malah bola sepak belum dicipta pun ketika zaman Nabi Muhammad SAW menyebarkan agama Islam di semenanjung Tanah Arab pada abad ke-7.

Tetapi pengaruh besar Nabi Muhammad SAW kepada tamadun dunia hari ini menyebabkan nama baginda kekal relevan kepada semua budaya. Dari budaya Arab, budaya Melayu, budaya Eropah sehinggalah kepada budaya bola sepak.

Inilah yang berlaku pada tahun 1997 apabila penyokong Schalke 04 mencipta lagu sorakan yang mengandungi nama Nabi Muhammad SAW dalam liriknya.

Schalke 04 dan komuniti Turki

Gelsenkirchen bukanlah bandar asing bagi komuniti imigran Turki. Selepas Perang Dunia Ke-2, Jerman menggalakkan pekerja asing untuk datang ke negara mereka untuk bekerja.

Bagi orang-orang Turki, pemesatan industri melombong arang batu di Lembah Ruhr (kawasan terletaknya bandar Gelsenkirchen) pada era 60-an bermakna banyak peluang pekerjaan.

Banyak peluang pekerjaan bermakna ekonomi makmur. Ekonomi makmur bermakna tiada sebab untuk imigran Turki di Gelsenkirchen untuk balik kampung. Oleh itu ramai pekerja Turki di sana menetap dan berasimilasi menjadi rakyat Jerman.

Kini bandar Gelsenkirchen mempunyai 18,000 penduduk berketurunan Turki beragama Islam.

Penyokong Schalke 04 nyanyi nama nabi

Adat menetap di Gelsenkirchen, anda wajib menyokong Schalke 04.

Apabila kelab anda mempunyai ramai komuniti penyokong beragama Islam seperti Schalke 04, ada kemungkinan sebahagian aspek agama anda akan bercampur dengan bola sepak.

Inilah yang berlaku kepada Schalke 04 pada tahun 1997.

Pada tahun 1997, seorang penyokong Schalke 04, Hans J. Koenig mencipta sebuah lagu tema kelab yang bertajuk Blue and White How I Love You (Blau und Weiß wie lieb ich dich).

Dalam lagu tersebut, terdapat satu baris lirik yang berbunyi:

“Mohammed war ein Prophet,
der vom Fussballspielen nichts versteht,
Doch aus all der schoenen Farbenpracht hat er sich das Blau und Weisse ausgedacht”

Lirik ini membawa maksud:

“Muhammad seorang nabi,
baginda tak tahu tentang bola sepak,
tapi dalam banyak-banyak warna, beliau pilih biru dan putih”

Anda boleh mendengar lagu tersebut dalam video di bawah:

Protes daripada orang Islam

Sebaik sahaja lagu ini dicipta pada 1997, ia menerima sedikit protes daripada komuniti Muslim Jerman dari luar Gelsenkirchen. Tetapi protes tersebut tak bertahan lama.

Lebih sedekad kemudian pada tahun 2009, lagu ini dinyanyikan semula oleh penyokong Schalke 04 selepas peningkatan prestasi luar biasa yang ditunjukkan oleh pasukan mereka dalam Bundesliga.

Dan seperti yang dijangka, lagu ini sekali lagi menerima protes daripada komuniti Muslim Jerman dari luar Gelsenkirchen.

Pada tahun 1997, penentang lagu ini tiada sosial media. Tetapi pada tahun 2009, media sosiallah yang menyebabkan Schalke 04 menerima ratusan emel dan surat aduan tentang lagu ini.

Situasi ini memaksa pengawai Schalke 04 merujuk kepada pakar agama Islam di Jerman untuk meminta pendapat mereka. Antara yang dirujuk Schalke 04 adalah:

  • Bülent Uçar, professor pengajian Islam di Universiti Osnabrück dan
  • Ayman Mazyek, setiausaha agung Kesatuan Tengah Muslim Jerman

Uçar dan Mazyek kedua-duanya memberi pendapat maksud tersirat lagu tersebut tiada unsur-unsur menghina Nabi Muhammad SAW.

Meskipun Kesatuan Tengah Muslim Jerman mengesahkan lirik lagu ini tidak berniat untuk menghina nabi, penyokong Schalke 04 yang lain tetap berhati-hati dan memilih untuk tidak menyanyikan lirik lagu ini lagi.

Inilah namanya toleransi. Satu nilai yang kita boleh belajar dari orang Jerman. Dan lebih penting, nilai ini juga turut diajar oleh Nabi Muhammad SAW kepada kita.

Maulidur Rasul hari istimewa mengingati nabi

Pada hari Maulidur Rasul ini, kami ingin mengajak rakan-rakan pembaca Semuanya BOLA sekalian untuk sama-sama mengamalkan nilai moral dan sunnah yang diajar Nabi Muhammad SAW kepada kita.

Bukan pada hari Maulidur Rasul sahaja, malah pada hari-hari lain juga.

Bagi kami, inilah cara terbaik untuk kita mengingati nama dan ajaran baginda. Bola, bola juga. Ibadat jangan lupa.

Inilah yang dilakukan oleh penyokong Al-Ittihad pada tahun 2018 apabila mereka menyanyikan selawat kepada Rasulullah SAW sebelum perlawanan liga menentang Al Shoalah.

Mereka turut melakukan tifo yang bertulis mesej ‘Habibi, Ya Rasulullah’.

Baca juga artikel lain yang berkaitan:

Beitar Jerusalem: Kelab Paling Rasis & Paling Anti-Muslim Di Israel

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN