Berjaya Atasi Singapura, Myanmar Dapat Ganjaran Awal Bernilai RM214,775

Laman Facebook Persatuan Bolasepak Myanmar (MFF) pada 14 Ogos yang lalu telah menyiarkan gambar skuad Myanmar menerima satu sampul coklat daripada MFF yang mengandungi ganjaran kemenangan mereka ke atas Singapura dalam aksi pertama Kumpulan A, Sukan SEA 2017, Isnin lalu.

Di atas sampul tersebut terpampang tulisan ‘30,000 USD – KBZ Bank’ yang dipercayai ganjaran atas kemenangan meyakinkan Myanmar dalam aksi pertama mereka tersebut. Myanmar menang 2-0 ke atas Singapura hasil dua jaringan penyerang, Aung Thu di Stadium Selayang.

Foto: Facebook Myanmar Football Federation

KBZ Bank merupakan salah satu daripada lima bank utama di Myanmar. Sebelum ini KBZ Bank turut menaja satu kejohanan jemputan pra-Sukan SEA pada Jun lalu di Myanmar iaitu Piala KBZ Bank 2017 yang melibatkan skuad Myanmar, Hong Kong dan Universiti Jepun.

Selain KBZ Bank, Presiden Persatuan Bolasepak Myanmar, U Zaw Zaw dan bekas pengerusi Yangon United, U Tay Za turut menyumbang USD 10,000 setiap seorang. Ia menjadikan jumlah keseluruhan ganjaran tersebut kepada USD 50,000 (RM 214,775).

Pengarah teknikal kelab Hanthawaddy United di Myanmar, PN Sivaji, yang juga merupakan bekas jurulatih dan pengarah teknikal untuk skuad kebangsaan Singapura menyatakan terdapat beberapa penaja dan penyokong yang bersedia untuk menyokong dan menyumbang ganjaran kepada pasukan Myanmar.

Sasaran Myanmar untuk temasya Sukan SEA 2017 adalah layak separuh akhir dan ianya tampak semakin hampir untuk direalisasikan.

Jika USD 50,000 adalah nilai kemenangan untuk perlawanan menentang Singapura, agaknya berapakah nilai ganjaran untuk mereka menjelang pertemuan dengan Malaysia, Isnin nanti?

Sementara itu, yang menariknya menurut Mothership.org, para pemain Singapura turut dikhabarkan dijanjikan ganjaran S$2,000 (RM6294) setiap seorang jika mampu mengalahkan Myanmar.

Pemberian ganjaran atas kemenangan atau kejayaan adalah perkara biasa di dalam bolasepak. Antaranya, skuad kelayakan Kejohanan AFC B-23 Malaysia yang menerima imbuhan besar atas kejayaan mereka melayakkan diri ke pusingan akhir kejohanan tersebut, bulan lalu.

Setiap pemain telah menerima imbuhan sebanyak RM25,000 daripada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan RM6,000 daripada Sultan Johor, Sultan Ibrahim.

Foto: @FIRST4LCFC/TWITTER

Selain itu, ganjaran di Eropah juga apa kurangnya. Tahun lalu, pemilik kelab Leicester City daripada Thailand, Vichai Srivaddhanaprabha, telah menghadiahkan 19 buah kereta BMW i8 kepada para pemain yang telah memainkan peranan besar untuk mereka meraih kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) musim 2015/16.

Menurut Leicester Mercury, Vichai telah membelanjakan hampir £2 juta (RM 11 juta) untuk ganjaran tersebut.

Kesimpulan

Pemberian ganjaran dan imbuhan atas kejayaan sesebuah pasukan diakui baik dari segi memberikan motivasi tambahan kepada para pemain. Ia tonik terbaik kepada para pemain untuk memberikan aksi yang lebih baik pada perlawanan atau kejohanan seterusnya.

Walaubagaimanapun, ganjaran adakalanya mampu ‘membuai’ para pemain keluar daripada fokus dan matlamat mereka yang sebenar sekiranya ia berlebihan.

Sumber Rujukan:

  1. Laman rasmi Facebook Persatuan Bolasepak Myanmar (MFF)
  2. Belmont Lay (2017): Myanmar football team gets S$68,000 bonus for beating S’pore in SEA Games match; http://mothership.sg/2017/08/myanmar-football-team-gets-s68000-bonus-for-beating-spore-in-sea-games-match/
  3. Martin Crowson (2016): Every Leicester City player given BMW i8 for Premier League win by chairman Vichai Srivaddhanaprabha; http://www.leicestermercury.co.uk/sport/football/football-news/every-leicester-city-player-given-140600

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN