Pengurus Manchester City, Pep Guardiola menyifatkan mempertahankan kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) pada musim ini adalah perkara paling sukar sepanjang karier pengurusan beliau.
City bangkit dari ketinggalan untuk menang 4-1 ke atas Brighton di Stadium Amex pada malam tadi – sekaligus memintas Liverpool di kedudukan liga untuk dinobatkan juara EPL.
Ini adalah kali ke-8 dari keseluruhan 10 musim Guardiola memimpin pasukan menjuarai gelaran liga sebagai pengurus.
“Untuk menjuarai kejuaraan ini, kami terpaksa menang 14kali berrturut-turut,” ujar Guardiola.
“Ini adalah kejuaraan paling sukar sepanjang karier saya setakat ini.”
Liverpool beraksi di Etihad pada Januari dengan kelebihan tujuh mata, namun tewas 2-1 kepada City. Ia kekal sebagai satu-satunya kekalahan Liverpool sepanjang kempen pada musim ini.
Selepas dikejutkan 2-1 oleh Newcastle pada bulan yang sama, City menang semua 14 baki perlawanan sehingga ke ahir musim.
The Reds menamatkan musim dengan 97 mata, jumlah ketiga tertinggi di Premier League. City memegang rekod mata terkumpul terbaik apabila mengumpul 100 mata pada musim lalu, dan 98 mata untuk menafikan Liverpool pada musim ini.
“Saya harus mengucapkan tahniah kepada Liverpool, dan terima kasih banyak-banyak,” kata Guardiola kepada Sky Sports.
“Musim lalu, Manchester City telah membuat standard ini. Musim ini mereka [Liverpool] membantu kami untuk menambah baik standard dari musim lalu.
“Untuk bersaing dengan sebuah pasukan yang memberikan tekanan untuk menjadi lebih baik, ia perkara menakjubkan kerana dapat mengumpul 198 mata dalam tempoh dua musim.
“Kebiasaannya anda akan merudum selepas memperolehi 100 mata. Liverpool membantu kami untuk konsisten.”