Rekrut baharu Chelsea, Kai Havertz yang meledakkan hatrik dalam perlawanan Piala Carabao bertemu Barnsley, awal pagi tadi mensasarkan untuk terus meletakkan nama selaku penjaring buat The Blues.
Sumbangan awal Havertz jelas menjadi persoalan peminat bola sepak selepas aksi longlai dipamerkannya sebelum ini dalam kempen Liga Perdana Inggeris (EPL) 2020/21 menentang Brighton dan Liverpool.
Bagaimanapun, ledakan hatrik pada perlawanan yang berlangsung di Stamford Bridge itu sudah pastinya sedikit menutup mulut pengkritik dan sekaligus dapat menjadi tonik berguna buat pemain berusia 21 tahun itu.
Sehubungan dengan itu, Havertz bertekad untuk meneruskan rentak cemerlang tersebut dalam usaha membantu Chelsea bagi meraih kejayaan pada musim ini selepas The Blues berbelanja besar untuk menguatkan jentera pasukan.
”Saya sangat gembira untuk menjaringkan tiga gol tetapi sudah tentu ini merupakan permulaan buat saya di kelab ini dan saya mahu untuk terus mencipta jaringan, lebih banyak gol.”
”Ini merupakan sasaran saya dan saya akan berusaha untuk melakukan yang terbaik dan saya sangat gembira dapat menjaringkan tiga gol pada hari ini.”
”Saya berharap agar dapat terus melakukan seperti ini,” ujar Havertz menurut laporan Goal.
Selain daripada jaringan hatrik Havertz, aksi dua pemain yang membuat penampilan sulung bersama Chelsea juga begitu meyakinkan apabila Thiago Silva berjaya mengemudi jentera pertahanan dengan cukup baik.
Manakala pemain bek kanan, Ben Chilwell mencipta bantuan jaringan yang dihasilkan oleh Olivier Giroud pada lewat permainan.
Kredit featured image: Twitter Chelsea FC
Baca artikel lain dari kami mengenai Kai Havertz: