Presiden Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA), Datuk Seri Mukhriz Mahathir mengatakan yang Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) tidak sepatutnya mengamalkan sikap ‘double standard’.
Menerusi laman Sinar Harian, Presiden KFA itu merujuk kepada isu mengenai perpindahan Akhyar Rashid yang kini telah meninggalkan pasukan itu untuk menyertai Johor Daru Ta’zim (JDT).
Menurut Mukhriz, apa yang dimahukan adalah ketegasan pihak FAM dalam menegakakan peraturan yang digubal oleh badan induk bola sepak negara itu sendiri.
“Kami bantah apabila ada pasukan lain langgar peraturan dan mangsanya adalah kami.”
“Kedah sudah alami situasi ini beberapa kali sebelum ini dan pasukan lain pun alami perkara yang sama. Jika FAM tidak bertegas, siapa lagi nak tegakkan peraturan?”
“Tindakan tegas perlu diambil jika ada pasukan langgar peraturan yang FAM tetapkan.”
“Tak boleh ada double standard, kerana semua pasukan perlu ikut peraturan yang telah ditetapkan.”
Dalam masa yang sama, Mukhriz turut membidas tindakan FAM ketika mengendalikan proses ini.
“Isu utama adalah pelanggaran peraturan, tetapi kami dicadang untuk ikut peraturan, tak boleh macam itu.”
“Saya kurang yakin dengan sistem rayuan oleh pihak FAM kerana kami tidak dipanggil ke mesyuarat jawatankuasa FAM untuk buat rayuan.”
Bagi Mukhriz, bukanlah nilai wang yang menjadi persoalan tetapi ketelusan dalam menegakkan peraturan itu yang menjadi keutamaan.