Hanya disebabkan sekeping gambar yang memaparkan gambar Masjid Ubudiah, Kuala Kangsar, bintang Jerman yang juga pemenang Piala Dunia 2014, Mesut Ozil telah dikaitkan dengan perpindahan ke pasukan Perak.
Gambar tersebut dimuat naik menerusi akaun media sosial rasminya yang menunjukkan imej lukisan pemain Fenerbahce itu sedang berdoa di hadapan masjid ikonik berkenaan.
“Wahai Allah, aku percayakanmu dengan masa silamku, aku percayakanmu dengan masa hadapanku. Aku percayakanmu pada hari ini, esok dan selama-lamanya. Jumaah Mubarak,” coretnya pada gambar tersebut.
Bagaimanapun ia cuma kekal spekulasi kerana Ozil sememangnya kerap memuat naik gambar-gambar masjid ikonik lain di seluruh dunia, juga mengambil kira kekuatan kewangan Perak yang kini di bawah pengurusan baharu.
Pemain berusia 33 tahun tersebut juga pernah dikaitkan dengan penghijrahan ke kelab Indonesia RANS Cilegon FC pada awal tahun ini selepas pemilik kelab berkenaan, Raffi Ahmad mengakui telah berhubung dengan bekas pemain Arsenal tersebut.
“Mesut Ozil berminat untuk beraksi dalam Liga 1 musim depan. Saya telah berkomunikasi dengannya dan saya boleh katakan kami telah mencapai kesepakatan. Tujuan kami adalah untuk membina pasukan yang kuat di Asia,” ujar selebriti popular itu.
Ozil juga merupakan seorang pemain bola sepak yang cukup lantang menyuarakan isu kemanusiaan melibatkan komuniti Muslim di seluruh dunia.
Bagaimana Anda Boleh Hidupkan ‘Vibe’ Tonton Bola Di Kedai Mamak Bersama sooka
Malah tindakan Arsenal menyisihkan pemain berkenaan turut dikaitkan dengan tindakannya membela nasib etnik Uighur di China yang didakwa ditindas oleh pihak kerajaan.