Paris Saint-Germain (PSG) kini mengharungi satu lagi musim yang mengecewakan selepas gagal membawa pulang gelaran UEFA Champions League (UCL).
Kali ini, mereka ditewaskan oleh Bayern Munich di pusingan 16 pasukan terakhir dengan semakin kempunanlah PSG untuk memecahkan rekod yang dipegang Olympique Marseille sebagai pasukan Perancis tunggal yang pernah menjuarai gelaran Eropah.
Sudah beberapa kali tewas termasuklah perlawanan akhir pada 2020 ditangan lawan yang sama, ianya seolah mula menjadi penamat buat penyerang sensasi PSG iaitu Kylian Mbappe.
Mbappe yang sekali lagi gigit jari gagal meraih kejayaan sebagai juara Eropah kelihatan sudah mula ‘tawar hati’ dengan apa yang diraihnya di PSG.
Pemain tersebut dilihat tidak mahu lagi bersama-sama dengan kelab tersebut apabila mengelak daripada bercakap berkenaan masa depannya bersama-sama PSG.
Menurut ESPN, Mbappe dikatakan hanya mahu meletakkan fokusnya kepada baki saingan PSG musim ini.
Beliau tidak mahu terlepas pula gelaran Ligue 1 selepas kecewa dalam perebutan UCL.
“Buat masa sekarang, saya cuma bercakap mngenai musim ini. Tiada yang lebih penting kepada saya. Kami amat kecewa.
“Apa yang menjadi keutamaan saya adalah untuk memenangi Ligue 1 dan lepas tu baru kita tengok macam mana,” kata Mbappe.
Tambah Mbappe, kekuatan skuad PSG yang ada sekarang cumalah mampu untuk sampai ke saingan 16 pasukan terakhir UCL sahaja dan tidak lebih daripada itu.
“Saya ada katakan pada sidang media pertama musim ini yang kami akan berikan yang terbaik.
“Tahap maksima kami adalah ini. Itulah kebenarannya. Kami perlu bermuhasabah diri dan kembali ke kehidupan asal kami iaitu Ligue 1,” ujar Mbappe lagi.