Pasukan PJ City bertemu pasukan Selangor dalam aksi kedua MSL2019 yang diadakan di Stadium MBPJ di Petaling Jaya.
Perlawanan yang dilangsungkan dalam keadaan padang yang tidak begitu baik jelas menyukarkan kedua-dua pasukan untuk bermain dengan elok.
Hasilnya, separuh masa pertama menyaksikan kedua-dua pasukan mengalami kesukaran dalam mendapat percubaan tepat.
Selangor mendapatkan peluang untuk menjaringkan gol menerusi Rufino Segovia namun beliau gagal untuk menolak masuk hantaran lintang Syahmi Safari.
Rembatan dari Elizeu Batista pula tersasar selepas pemain itu melakukan percubaan dari sudut sukar ketika berada dalam kotak penalti Selangor.
Penyokong Selangor hampir menyangka bola sudah masuk ke dalam gol apabila Syazwan Zainon melakukan rembatan pada minit ke-28.
Namun sayang, rembatan itu hanya sekadar melalui sisi jaring sahaja.
Tempo permainan yang perlahan berterusan di separuh masa kedua dengan kedua-dua pasukan jelas terganggu dengan permukaan padang.
Walaupun begitu, PJ City adalah pasukan lebih tajam di depan pintu gol apabila lebih banyak percubaan tepat ke arah pintu gol terutamanya menerusi rembatan Pedro Almeida.
Akan tetapi, percubaan beliau hanya terus ke arah Khairulazhan Khalid.
Kebuntuan akhirnya berjaya dipecahkan apabila PJ City berjaya mendahului menerusi sepakan penalti pada minit ke-80.
Almeida dengan mudah menewaskan Khairulazhan walaupun penjaga gol itu berjaya meneka arah sepakan dengan betul.
10 minit terakhir menyaksikan Selangor meningkatkan tekananan untuk mengelakkan diri dari kekalahan.
Hasilnya, minit ke-90, Rufino menjaringkan gol pertamanya dalam saingan liga selepas menyempurnakan sepakan penalti.
Ianya terhasil selepas Syahmi dijatuhkan dalam kotak penalti ketika pemain itu berada dalam usaha untuk masuk ke dalam pintu gol.
Rufino hampir menjadi wira apabila percubaan minit akhir beliau hanya sekadar singgah di depan pintu gol PJ City.
Secara keseluruhannya perlawanan ini hanya hidup pada 10 minit terakhir perlawanan sahaja selepas sepakan penalti diberikan kepada PJ City.
Selebihnya, ianya hanya aksi bola sepak yang tidak begitu baik dipersembahkan antara kedua-dua pasukan.
Keputusan penuh, PJ City 1-1 Selangor.
Kesebelasan utama
PJ City: Muhaimin Mohamad (penjaga gol), Joshua Grommen, Elizeu Batista, Beomgeun Bae, Pedro Almeida, Giancarlo Rodrigues, Aizulridzwan Razali (Zamri Ramli 76′), R. Barathkumar, P. Rajes (G. Ganiesh 69′), S. Veenod, B. Tinagaran (ketua pasukan)
Selangor: Khairulazhan Khalid (penjaga gol), Taylor Regan (Latiff Suhaimi 56′), Antonio German (Nurridzuan Hassan 63′), Rufino Segovia (ketua pasukan), Endrick Dos Santos (Sean Selvaraj 83′), Faiz Nasir, Halim Saari, K. Prabakaran, Syahmi Safari, Syazwan Zainon, Michal Nguyen
Pegawai perlawanan
- Pengadil: Suhaizi Shukri
- Penolong pengadil 1: Junaidy Abd Samad
- Penolong pengadil 2: Asrul Zairi
- Pengadil ke-4: P. Jeevananthan