Kuala Lumpur dan Pahang membuka tirai saingan Liga Super Malaysia 2019 (MSL2019) dengan aksi yang diadakan di Stadium KLFA, Cheras.
Pahang jelas menguasai permainan dengan kualiti serangan yang baik ke atas kubu Kuala Lumpur.
Pasukan tuan rumah jelas mengalami masalah dalam usaha menghalang asakan Pahang dengan menyaksikan Sharbinee Alawee terpaksa menghalang beberapa percubaan.
Pada 10 minit pertama, Kuala Lumpur hampir berjaya mendahului apabila gerakan solo Zhafri Yahya berjaya melepasi 5 pemain Pahang sebelum percubaannya dihalang Helmi Eliza.
Selepas itu, Pahang menguasai perlawanan dan mereka berjaya mendapatkan percubaan menerusi Dickson Nwakaeme, Safuwan Baharudin dan juga Faisal Rosli.
Usaha keras Pahang berjaya juga membuahkan hasil apabila Saddil Ramdani selepas percubaan kaki kirinya berjaya juga menewaskan Sharbinee pada minit ke-24.
Ianya berlaku selepas penjaga gol itu menepis percubaan dari Mahmadou Sumareh – ia merupakan gol pertama Ramdani di Liga Malaysia dan jaringan sulung saingan musim ini secara keseluruhannya.
Kuala Lumpur berjaya mendapatkan gol penyamaan di awal separuh masa kedua menerusi jaringan Afiq Razali.
Beliau yang dimasukkan pada awal separuh masa kedua menyudahkan hantaran lintang dari Indra Putra di sebelah kanan.
Namun gol yang hadir pada minit ke-48 itu dipadamkan dengan mudah pada minit ke-52 apabila Dickson Nwakaeme menjaringkan gol kedua Pahang.
Beliau menolak mudah bola susulan selepas percubaan awal Jose Ze Love ditepis oleh Sharbinee.
Selepas gol itu, Pahang mengawal permainan dengan mereka berjaya menghalang Kuala Lumpur dari mencari gol kedua mereka.
Namun di 5 minit terakhir, tuan rumah berjaya mendapatkan sedikit rentak untuk menyerang selepas Pahang mengendurkan penguasaan.
Sayangnya kesilapan di bahagian pertahanan dihukum sekali lagi oleh Nwakaeme yang menjaringkan gol ketiga hasil gerakan solo pada masa kecederaan.
Beliau yang mengelecek melepasi Sharbinee mengesahkan 3 mata buat Pahang pada malam pertama Liga Super 2019.
Malam ini jelas bukan malam Guilherme De Paula apabila beliau dirantai rapi pergerakannya. Lebih teruk, beliau terperangkap ofsaid dengan jumlah yang besar!
Secara keseluruhannya, Pahang menujukkan penguasaan yang cukup baik dalam perlawanan ini dan mereka menepati ciri-ciri sebagai pasukan yang cukup agresif ketika menyerang.
Tugas berat buat Kuala Lumpur apabila mereka memulakan liga sekali lagi dengan langkah kiri di laman sendiri, sama seperti pada musim lalu apabila mereka tewas kepada Selangor di hari pertama.
Keputusan penuh, Kuala Lumpur 1-3 Pahang.
Kesebelasan utama
Kuala Lumpur: Sharbinee Alawee (penjaga gol), Hafiz Johar, Paulo Josue, Indra Putra (ketua pasukan), Naim Nazmi, Irfan Zakaria, Guilherme De Paula, Zaiful, Ryutaro, Zhafri Yahya, Comvalius
Pahang: Helmi Eliza (penjaga gol), Matthew Davies (ketua pasukan), Guolon, Muslim Ahmad, Faisal Rosli, Mahmadou Sumareh, Safuwan Baharudin, Azam Azih, Saddil, Dickson Nwakaeme, Ze Love