Hanya ada satu perlawanan Liga Super Malaysia yang akan berlangsung pada malam ini, membabitkan pasukan Negeri Sembilan menentang Terengganu FC di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi.
Perlawanan ini merupakan perlawanan yang keempat bagi kedua-dua pasukan.
Negeri Sembilan FA
Menjelang minggu ke-4 Liga Super Malaysia 2018, Negeri Sembilan menduduki tangga ke-9 liga, dengan 3 mata.
Sehingga kini, skuad kendalian Jorg Steinebrunner ini telah menjaringkan dua gol, dan dibolosi empat kali.
Prestasi semasa
Selepas tiga perlawanan, Negeri Sembilan malalui prestasi tidak menentu dalam saingan Liga Super 2018. Tewas 1-0 di tangan PKNP FC di perlawanan pertama, mereka bangkit untuk menewaskan Kuala Lumpur 2-0 di Paroi dalam perlawanan seterusnya.
Namun realiti perjalanan di Liga Super Malaysia jelas berliku. Selepas itu, mereka ditundukkan oleh Melaka United dengan jaringan 3-0 di Stadium Hang Jebat, sebelum liga berehat.
Bertemu Terengganu FC, skuan Hobin Jang Hobin pasti mengharapkan sorakan Paroi mampu membantu mereka sebagai pemain ke-12 pada malam ini.
Bagi ketua jurulatih Jorg Steinebrunner, formasi 4-5-1 masih yang terbaik untuk dijadikan sandaran berdasarkan pemain yang ada.
Sistem ini membenarkan mereka lebih kompak ketika bertahan, dan memberikan fluidity ketika menyerang apabila ia berubah bentuk kepada 4-3-3.
Pemain tumpuan
Di bahagian serangan, tugas memburu gol pasti terarah kepada penyerang import, Nicolas Velez.
Flavio Beck Junior turut mempunyai peranan besar ketika mengubah permainan dari fasa pertahanan kepada serangan sebagai pivot tunggal.
Kelincahan Khairul Izuan sebagai pemain sayap kiri, dan ketajaman visi milik kapten pasukan, Kim Doheon pasti turut dituntut untuk membenarkan Velez menjalankan tugasnya di hadapan gol.
Untuk mencapai kemenangan, Negeri Sembilan pasti mengharapkan setiap unit mampu beraksi dengan sempurna, agar tiga mata tidak terlepas dari genggaman.
Terengganu FC
Memasuki minggu ke-4 Liga Super Malaysia 2018, Terengganu FC menduduki tangga ke-5 liga, dengan 5 mata.
Sehingga kini, skuad kendalian Irfan Bakti ini telah menjaringkan tujuh gol, dan dibolosi empat kali.
Prestasi semasa
Selepas tiga perlawanan, Terengganu FC berkongsi jumlah jaringan terbanyak bersama Selangor dengan 7 gol.
Tirai aksi Liga Super Malaysia 2018 dibuka oleh Terengganu FC dengan keputusan seri 2-2 menentang PKNS FC.
Skuad Irfan Bakti kemudiannya diikat 1-1 oleh Kelantan di Kota Bharu sebelum mencatat kemenangan pertama musim ini dengan membelasah Selangor 4-1 di minggu ketiga MSL.
Ia merupakan prestasi yang agak baik, mengambil kira ini adalah musim pertama Terengganu FC beraksi di saingan Liga Super setelah beraksi kembali sebagai naib juara 100Plus Liga Premier pada musim lalu.
Terengganu FC pasti mahu mengekalkan momentum kemenangan ketika mengejutkan Selangor sebelum ini.
Irfan Bakti berkemungkinan akan mengekalkan formasi 4-3-3 untuk memberikan masalah kepada pertahanan lawan, berteraskan tempo permainan pantas seperti perlawanan lalu.
Tiga mata pasti menjadi buruan skuad Penyu pada malam ini, demi memastikan Terengganu FC terus kekal bersaing dengan pasukan kelompok atas liga.
Pemain tumpuan
Tchetche Kipre adalah penjaring terbanyak skuad Terengganu setakat ini dengan 4 gol.
Tetapi selain Kipre, Irfan pasti terus menyandarkan harapan kepada Lee Tuck untuk menggerakkan jentera tengah pasukan, disertai kelincahan Abdul Maik Arif dan Faiz Nasir.
Setelah berjaya meneutralkan ancaman Rufino Segovia ketika menentang Selangor, gandingan Igor Zonjic dan Nasrullah Hanif pasti ditagih untuk melakukan tugasan yang sama terhadap Velez.
Rekod lampau
Musim lalu kedua-dua pasukan bertemu di kancah 100Plus Liga Premier.
Di gelanggang yang sama, Negeri Sembilan berjaya menewaskan cabaran Terengganu dengan kemenangan 3-2.
Manakala perlawanan di Kuala Terengganu berakhir dengan keputusan seri 2-2.
Sebelum wisel
Tiada isu kecederaan pemain dilaporkan setakat ini dari kedua-dua kem pasukan.
Satu-satunya pemain yang mungkin tidak disenaraikan ke dalam skuad pada malam ini ialah penjaga gol, Ahmad Syihan Hazmi yang masih di dalam tempoh pergantungan 60 hari selepas gagal ujian doping ketika tugasan bersama skuad negara.
Di kem Terengganu FC, semuanya tampak bersedia dengan moral tinggi pemain ketika ini menjadi sandaran utama.
Bagi mereka yang tidak berkesempatan untuk bertandang ke stadium, anda boleh mengikuti perlawanan ini secara siaran langsung melalui siaran RTM dan juga iflix mulai jam 9 malam.