Pendahulu saingan CIMB Liga Super Malaysia 2020, Johor Darul Ta’zim (JDT) mencatatkan kemenangan bergaya di Stadium Sultan Ibrahim setelah mudah menundukkan Perak 7-0 pada aksi yang berlangsung sebentar tadi.
Turun selaku pasukan pilihan untuk memenangi perlawanan keenam ini, JDT jelas berada di kelas tersendiri apabila mempamerkan corak permainan kemas berbanding aksi yang dipamerkan anak buah Mehmed Durakovic.
Ia dibuktikan dengan empat gol yang berjaya dihasilkan JDT pada separuh masa pertama menerusi Afiq Fazail, dua gol daripada Gonzalo Cabrera dan Muhammad Ramadhan Saifullah Usman.
Pesta jaringan di separuh masa pertama itu bermula pada minit ke-22 apabila Mohd Afiq Fazail melakukan percubaan ‘placing’ dari luar kawasan penalti susulan kesilapan Anthony Golec yang gagal mengeluarkan bola dari kawasan bahaya lalu berjaya menewaskan Nasrullah Aziz di gawang Perak.
Gol tersebut nyata meningkatkan lagi moral barisan pemain JDT dalam usaha untuk memburu jaringan apabila usaha mereka membuathkan hasil minit ke-36.
Berpunca daripada hantaran lintang dari sebelah kiri dilakukan Diogo Santo yang mencari Leandro Velasquez, beliau kemudiannya melakukan dadaan mencari Gonzalo Cabrera dalam kawasan penalti Perak. Cabrera tidak mensia-sia peluang tersebut untuk menjadikan kedudukan 2-0.
Ketika kedua-dua pasukan sudah bersedia untuk melangkah ke bilik persalinan, tuan rumah terus bernafsud dengan menambah dua gol lagi menerusi sepakan penalti Cabrera dan percubaan dari luar kawasan penalti dilepaskan Ramadhan Saifullah.
Skrip yang sama berbeza pada aksi separuh masa kedua apabila Perak memulakan perlawanan dengan baik tetapi kemudiannya terus tenggelam berikutan tekanan hebat diberikan para pemain JDT.
Cabrera melengkapkan hatrik pada minit ke-62 selepas kuisan daripada Diogo yang melepasi celah kaki Nasrullah Aziz mudah ditolak masuk pemain import kelahiran Argentina itu.
Tidak cukup dengan lima jaringan tersebut, anak buah Benjamin Mora menambah dua lagi jaringan menerusi pemain gantian, Safawi Rasid dan Akhyar Rashid untuk menamatkan perlawanan dengan kemenangan 7-0.
Kredit Featured Image: Johor Southern Tigers