MSL 2019: Ledakan Syahrul Azwari, Fernando Rodriguez Bantu Kedah Rebahkan PJ City

Kedah mengekalkan rekod tanpa kalah untuk saingan unifi Liga Super Malaysia (MSL) 2019 selepas berjaya menundukkan PJ City FC dengan keputusan 2-0 di Stadium MBPJ, sebentar tadi.

Jaringan sulung Syahrul Azwari dan Fernando Rodriguez untuk Kedah dalam saingan liga musim ini membantu Helang Merah membawa pulang 3 mata berharga dalam perlawanan ke-4 liga.

PJ City tampil dengan perubahan formasi kepada 5-4-1 dengan pengendalinya, K. Devan meletakkan 5 pemain bertahan dalam usaha mahu mengukuhkan struktur pertahanan mereka. Terdapat satu perubahan pemain dengan Safee Sali menggantikan Giancarlo Lopez yang baru sahaja dipinjamkan ke PKNP FC.

Pasukan pelawat pula tampil dengan formasi yang sama 4-2-3-1 dengan membuat satu pertukaran pemain iaitu Anmar Almubaraki yang direhatkan dan tempatnya diambil alih oleh Syahrul Azwari. Anmar mengalami kecederaan ketika Helang Merah menewaskan Felda United dalam perlawanan ke-3 liga minggu lalu.

Foto: MFL

Perubahan formasi yang dibuat oleh tuan rumah tampak berhasil untuk mengimbangkan perlawanan dengan pemain-pemain Kedah dilihat sedikit bergelut setiap kali mahu memulakan asakan apabila PJ City cepat melakukan pressing terhadap lawan mereka itu.

Walaubagaimanapun, Syahrul Azwari yang pertama kali berada dalam kesebelasan utama telah berjaya menyentak PJ City apabila menghasilkan gol pertama Kedah pada minit ke-7 – menerusi percubaan pertama Kedah ke gawang tuan rumah.

Ianya berpunca daripada hantaran cantik jarak jauh Baddrol Bakhtiar ke dalam kotak penalti yang tepat menemui kepala Syahrul Azwari yang tidak dikawal kemas oleh pertahanan The Phoenix – gol peribadinya yang pertama musim ini.

Hanya beberapa kali penjaga gawang Kedah, Ifwat Akmal diuji oleh jentera serangan tuan rumah selepas gol pertama itu antaranya percubaan lemah oleh pemain baharu PJ City yang dibawa masuk pada hari terakhir jendela perpindahan, Safee Sali di minit ke-16.

Reaksi yang baik oleh The Phoenix selepas dikejutkan dengan gol pembukaan perlawanan apabila cuba bangkit mengasak.

Di saat tuan rumah asyik mengasak, berpunca daripada serangan balas pantas oleh pelawat, Fernando Rodriguez akhirnya berjaya meledak gol pertamanya di Liga M untuk memberikan Helang Merah selesa mendahului dua gol pada minit ke-41.

Bermula dengan PJ City terlepas bola di kawasan gol lawan ketika mengasak, Kedah pantas bangkit mengasak terus ke kubu tuan rumah dengan beberapa pertukaran hantaran melibatkan 5 pemain sebelum disudahkan oleh pemilik jersi nombor 9 Kedah itu.

Babak kedua bermula dengan K. Devan dipaksa membuat dua pertukaran selepas dua bintang utama mereka, Pedro Henrique dan K. Barathkumar mengalami kecederaan ringan – meninggalkan Safee Sali keseorangan di jentera serangan.

Ia jelas sukar buat bekas pengempur berbahaya skuad kebangsaan itu untuk bergerak berseorangan kerana Kedah memiliki dua benteng tengah yang sangat konsisten dan berdisiplin – Renan Alves dan Shakir Hamzah yang merantai pergerakannya.

Pengendali Kedah, Aidil Sharin juga membuat dua pertukaran menuju 15 minit terakhir dengan dua penjaring gol Syahrul Azwari dan Fernando Rodriguez terpaksa digantikan akibat kecederaan – digantikan oleh N. Thanabalan dan Hidhir Idris.

Namun, impak daripada dua pemain ini kurang dapat dilihat malah Hidhir Idris yang baru sahaja masuk untuk penampilan pertamanya telah dilayangkan kad kuning akibat melakukan kekasaran.

Foto: MFL

5 minit menuju wisel penamat, Baddrol Bakhtiar memaksa buat kali terakhir penjaga gawang, Muhaimin Mohamad menyelamatkan sepakan percumanya yang diambil dari luar kotak penalti.

Perlawanan yang berjalan lancar itu akhirnya ditamatkan oleh pengadil dengan kemenangan berpihak kepada Kedah – meneruskan rentak tanpa kalah untuk kali ke-4 musim ini serta cleansheet ke-3 buat Ifwat Akmal yang kurang diuji malam ini.

PJ City FC: Muhaimin Mohamad (PG), Joshua Grommen, Elizeu Araujo, Aizulridzwan Razali, P. Rajesh, B. Tinagaran (K), S. Veenod, Bae Beom-geun, R. Barathkumar (52′ G. Ganiesh), Pedro Henrique (45′ K. Satish), Safee Sali

Kedah: Ifwat Akmal (PG), Renan Alves, Shakir Hamzah, Rizal Ghazali, Alif Yusof, Baddrol Bakhtiar (K), Fadzrul Danel, Syahrul Azwari (76′ Hidhir Idris), Zaquan Adha (88′ Amirul Hisyam), Jonathan Bauman, Fernando Rodriguez (69′ N. Thanabalan)

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN