Kedah mencatatkan kemenangan dramatik setelah berjaya menewaskan Kelab Bola Sepak Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS FC) 3-2 di Stadium Shah Alam, sebentar tadi.
Jaringan kemenangan pada masa kecederaan dihasilkan Rizal Ghazali itu memberikan kemenangan ketujuh buat Kedah musim ini.
Ini merupakan kekalahan kedua buat PKNS FC selepas turut menerima nasib yang sama pada pertemuan menentang Felda United, minggu lalu.
Kedua-dua pasukan kelihatan begitu rancak melancarkan serangan ke kubu lawan masing-masing terutamanya pada babak pertama tetapi tidak banyak percubaan tepat yang dapat dihasilkan.
Penjaga gol PKNS FC, Farhan Abu Bakar diuji Baddrol Bakhtiar seawal minit kelima permainan menerusi sepakan percuma jarak jauh. Namun, sepakan tersebut terlalu mudah untuk diselamatkan Farhan.
Baddrol menebus kehampaan tersebut berselang lima minit kemudian selepas tandukannya berpunca daripada sepakan penjuru membuatkan Farhan tergamam lalu membuka tirai jaringan.
Aksi 45 minit bersambung menyaksikan corak permainan lebih menarik dapat disaksikan. Ia terbukti selepas empat jaringan telah terhasil.
Berpunca daripada kesilapan Shakir Hamzah dalam kawasan penalti, pengadil perlawanan, Zamzaidi Katimin menghadiahkan sepakan penalti buat tuan rumah.
Kpah Sherman yang mengambil sepakan pada minit ke-53 dengan tenang menyempurnakan peluang untuk kembali mengikat kedudukan.
Jaringan tersebut nyata menjadi tonik berguna buat skuad bimbingan Datuk K Rajagobal itu apabila mencipta dua gerakan terbaik pada minit ke-59 dan 64.
Bagaimanapun penyudah kurang berkesan ditampilkan Jafri Firdaus Chew dan Mahali Jasuli menghampakan kem PKNS FC.
Kegigihan PKNS FC membuahkan hasil pada minit ke-64 setelah Sherman bijak melihat Ifwat Akmal Chek Kassim berada sedikit keluar dari posisinya lalu melakukan sepakan lambung bagi meletakkan skuad semut merah pula di hadapan.
Gol itu merupakan jaringan ke-11 buat Sherman dalam saingan Liga Super 2019.
Kegembiraan tersebut hanya mampu bertahan lima minit sahaja apabila Kedah kembali menyamakan kedudukan menerusi pemain gantian, Mohammad Fayadh Zulkifli meledakkan rembatan kaki kiri dari jarak jauh.
Rizal Ghazali muncul wira selepas rembatannya dalam kawasan penalti pada masa kecederaan terbias Rodney Calvin lalu menewaskan Farhan.
Dengan kemenangan dramatik ini, Kedah mengumpul 26 mata sekaligus kembali menduduki tangga ketiga sementara menanti perlawanan JDT bertemu Selangor, esok.
Kredit foto: Zaid Ayid | SukanMalaysiaDotMY