Quantcast

BERITA

Penyokong Manchester United Paling Rasis Di England

Menurut data yang dikeluarkan oleh kerajaan, penyokong Manchester United adalah yang paling ramai ditahan oleh pihak berkuasa tempatan disebabkan perkara berkaitan perkauman jika dibandingkan dengan mana-mana penyokong kelab bola sepak yang lain di England.

Data terebut adalah rekod yang diambil untuk tempoh empat tahun, bermula musim 2014/15 sehingga 2017/18. Maklumat tersebut diperolehi oleh Pesatuan Akhbar/Media (PA) dibawah perundangan kebebasan mendapatkan maklumat.

Penyokong United paling ramai

Menurut data tersebut seramai 27 penyokong Manchester United ditahan oleh polis diantara musim 2014/15 sehingga 2017/18. Ini diikuti oleh penyokong kelab dari Championship iaitu Milwall dan Leeds United masing-masing denga 15 penyokong yang ditahan. Manakala Leicester City merekodkan 14 penahanan di kalangan penyokong mereka dan Chelsea merekodkan 13 penahanan.

Musim 2018/19 yang baru berlalu juga dijangka akan merekodkan lebih banyak penahanan di kalangan penyokong bola sepak dari seluruh England akibat perbuatan perkauman. Namun data untuk musim 2018/19 hanya akan didedahkan kepada umum pada musim panas ini.

(Photo by Catherine Ivill/Getty Images)

Data diragui

Apabila sesuatu insiden berkaitan perkauman berlaku, pegawai yang melakukan penahanan harus menandakan bahagian tertentu di dalam borang laporan masing-masing. Tidak dapat dipastikan ketepatan maklumat yang disalurkan melalui laporan sebegitu, mendorong kerajaan berkata tiada jaminan maklumat ini adalah tepat.

Data tersebut menyatakan 107 tangkapan dilakukan pada musim 2014/15. Ia kemudiannya meningkat kepada 114 tangkapan pada tahun berikut, sebelum menurun kepada 94 tahanan pada 2016/17 dan 75 tangkapan pada 2017/18.  Jumlah keseluruhan tangkapan ialah 390 penyokong bola sepak dalam tempoh empat tahun tersebut.

Selain daripada kelab-kelab di atas, West Ham turut merekodkan tangkapan mencecah dua angka iaitu 11, manakala Barnsley, Manchester City, Middlesbrough dan Sunderland semuanya dengan 10 tangkapan masing-masing.

Lain-lain kes

Pada musim 2018/19, isu perkauman paling hangat diperkatakan ialah yang membabitkan bintang England, Raheem Sterling. Beliau mendakwa dicemuh dengan kata-kata berbaur perkauman dalam satu perlawanan membabitkan Manchester City ketika menentang Chelsea.

Pihak penyiasat pada April lalu berkata mereka mempunyai cukup bukti untuk menyifatkan perkataan dan ayat yang digunakan oleh penyokong Chelsea dalam insiden tersebut dikategorikan sebagai insiden perkauman.

Pemain-pemain England berkulit hitam turut menerima nasib sama ketika pusingan kelayakan Euro 2020 menentang Montenegro pada Mac lalu. Manakala seorang penyokong Tottenham telah digantung daripada menghadiri perlawanan bola sepak dan turut didenda £500 kerana membaling kulit pisang ke arah Pierre-Emerick Aubameyang pada Disember tahun lalu.

Sebuah persatuan anti diskriminasi, Kick Out pada November lalu turut mendedahkan menerima 520 laporan dakwaan diskriminasi sepanjang musim 2017/18. Ia adalah peningkatan sebanyak 11% daripada kempen pada musim sebelumnya. 53% daripada laporan tersebut membabitkan insiden perkauman.