MSL 2019: Terikat 1-1 Menentang JDT, Kedah Kekalkan Rekod Tanpa Kalah Di Darul Aman

Khairul Helmi Aidil

Kedah dan Johor Darul Ta’zim (JDT) terpaksa berpuas hati dengan masing-masing meraih 1 mata apabila kedua-dua pasukan terikat dengan keputusan 1-1 dalam perlawanan ke-7, Liga Super Malaysia (MSL) 2019 di Stadium Darul Aman, sebentar tadi.

Helang Merah mengekalkan rekod tanpa kalah mereka di Darul Aman – selepas 3 perlawanan, namun terpaksa melepaskan rekod tanpa bolos apabila JDT berjaya meledak gol menewaskan Ifwat Akmal yang juga cemerlang menafikan beberapa percubaan JDT.

Terdapat tiga perubahan pemain yang dibuat oleh pengendali Kedah, Aidil Sharin Sahak dengan Azmeer Yusof, Amirul Hisyam, Anmar Almubaraki disenaraikan dalam kesebelasan utama.

Kedah terpaksa melupakan khidmat Renan Alves dan Fadzrul Danel serta memberi debut kepada Azmeer Yusof dan Amirul Hisyam dalam perlawanan yang boleh dikategorikan ‘panas’ ini.

JDT turut membuat tiga pertukaran pemain yang telah menang ke atas PKNP FC tempohari iaitu kemasukkan semula Azrif Nasrulhaq, Natxo Insa dan Safawi Rasid serta mengekalkan formasi 4-3-3.

Kali terakhir kelibat Natxo Insa dilihat beraksi adalah ketika mereka beraksi menentang Perak dalam aksi Piala Sumbangsih.

Natxo Insa
FOTO: JST

10 minit pertama menyaksikan JDT menekan Kedah menerusi dua sepakan percuma yang diperolehi berhampiran gol tuan rumah dan salah satunya telah menghadiahkan pelawat gol pertama perlawanan menerusi jaringan Safawi Rasid di minit ke-10.

Pada jarak hampir 40 meter, kapten skuad B-23 negara itu melepaskan sepakan percuma kaki kiri yang rendah dan deras melepasi benteng tuan rumah dan berjaya menewaskan Ifwat Akmal di gawang – kali ke-3 bolos pada musim ini.

Kedah mula bangkit mengasak menerusi beberapa asakan namun kegagalan jentera hadapan beroperasi dengan berkesan menghampakan Helang Merah antaranya percubaan lemah Jonathan Bauman yang langsung tidak menggugat Farizal Marlias.

Jika di awal perlawanan kita dapat melihat Kedah seakan-akan terbawa-bawa dengan emosi menerusi beberapa keputusan pengadil yang dikatakan berat sebelah namun, akhirnya tuan rumah kembali tenang dan bermain dengan lebih tersusun.

Fernando Rodriguez akhirnya menceriakan ribuan penyokong Kedah di Darul Aman menerusi gol tandukan pada minit ke-30 menewaskan Farizal Marlias selepas menerima lambungan menarik Khairul Helmi di dalam kotak penalti pasukan pelawat.

Itu merupakan gol keduanya selepas menjaringkan gol pertama ketika Kedah menewaskan PJ City FC pada 22 Februari lalu.

Harimau Selatan menggigit jari pada minit ke-42, apabila Rizal Ghazali berjaya menyelamatkan gawang tuan rumah dari dibolosi selepas Ifwat Akmal sudah tertewas dengan lob rendah Diogo, yang sebelum itu berjaya melepasi kawalan Khairul Helmi.

Diogo Santo
FOTO: JST

Bermula aksi babak kedua, JDT kembali dengan rutin mengasak seperti biasa dan Ifwat Akmal berjaya menyelamatkan 2 percubaan boleh gol pasukan pelawat termasuklah tandukan di depan gol oleh pertahanan JDT, Mauricio dos Santos di minit ke-55.

Memasuki sejam perlawanan berlangsung, tempo permainan telah diperlahankan oleh kedua-dua pasukan dan Kedah hanya sekali sekala tampil mengasak ke kubu Harimau Selatan.

Sementara JDT pula tampak hanya mengasak tuan rumah menerusi beberapa sepakan percuma yang diperolehi di kawasan Kedah. JDT gagal menembusi benteng Helang Merah ketika dalam permainan.

Intensiti perlawanan kembali meningkat dalam 10 minit terakhir selepas kedua-dua pasukan membuat pertukaran pemain namun Kedah dan JDT terus buntu untuk menghasilkan gol kemenangan.

Keputusan ini menyaksikan kali kedua JDT merekodkan keputusan seri selepas terikat 2-2 menentang Terengganu pada 15 Februari lalu, sementara Kedah pula berjaya menamatkan rentetan kemenangan Harimau Selatan dalam 3 perlawanan sebelum ini.

Kedah: Ifwat Akmal (PG), Shakir Hamzah, Khairul Helmi, Rizal Ghazali, Azmeer Yusof, Baddrol Bakhtiar (K), Amirul Hisyam, Anmar Almubaraki (83′ N. Thanabalan), Farhan Roslan (77′ Zaquan Adha), Jonathan Bauman, Fernando Rodriguez (90′ Hidhir Idris)

JDT: Farizal Marlias (PG), Adam Nor Azlin, Mauricio dos Santos, Azrif Nasrulhaq (83′ Aidil Zafuan), Corbin Ong, Natxo Insa (90′ Afiq Fazail), Hariss Harun (K), Gonzalo Cabrera, Leandro Velazquez, Safawi Rasid (83′ Akhyar Rashid), Diogo Santo

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN