MSL 2019: Jaringan Faiz Nasir Buat Terengganu FC Gigit Jari

Skuad gergasi merah berjaya meraih kemenangan kedua dalam saingan Liga Super apabila menewaskan Terengganu FC, 1-0 di Stadium Shah Alam sebentar tadi.

Selepas membantu skuad Harimau Malaya menewaskan Afghanistan, 2-1 minggu lalu, Faiz Nasir sekali lagi mencuri tumpuan malam ini apabila menjaringkan gol kemenangan sekaligus melonjakkan kedudukan pasukan Selangor di tangga ke tujuh dalam carta Liga Super.

Ia adalah kemenangan pertama Selangor di Stadium Shah Alam selepas mengharungi 7 perlawanan Liga Super.

Separuh masa pertama

Dalam perlawanan ini, pengendali Selangor, B. Satiananthan menggunakan formasi 4-3-3 serta melakukan 3 pertukaran dalam kesebelasan utama bagi menggantikan pemain yang mengalami kecederaan iaitu Nurridzuan, Rufino Segovia dan Syahmi Safari.

Manakala Terengganu FC mengekalkan formasi 4-1-4-1 dengan mempertaruhkan Kipre Tchetche sebagai ‘target man’ sambil dibantu oleh Sanjar Shaakmedov dan Lee Tuck. Manakala dua bekas pemain Pahang, Syamim Yahya dan Malik Arif mengisi posisi sayap kiri dan kanan.

Sebaik sahaja wisel sepak mula ditiupkan, Terengganu terlebih dahulu mengaturkan serangan dan sempat menguji benteng pertahanan Selangor melalui percubaan Lee Tuck pada minit ke 3 tetapi ditepis keluar oleh Farizal Harun.

Dua minit kemudian, Lee Tuck sekali lagi menguji ketangkasan Farizal namun cubaannya berjaya dihalang oleh pemain import Selangor, Endrick. Tersentak dengan percubaan itu, Selangor bangkit melakukan hantaran menarik Faiz Nasir kepada Sandro Medonca tetapi rembatannya melewati palang gol.

Terengganu memperolehi peluang keemasan untuk menjaringkan gol pertama tetapi malangnya rembatan Sanjar Shaakhmedov tersasar pada minit ke 15. Selangor kemudian terpaksa melupakan khidmat Endrick Dos Santos apabila pemain tersebut memberi isyarat mahu keluar kerana mengalami kecederaan serius.

Benteng pertahanan Selangor terus diuji dengan percubaan demi percubaan daripada rangkaian serangan Terengganu dan mereka juga hampir dibolosi pada minit ke 25 dan 30.

Selangor cuba mengatur serangan terhadap kubu lawan melalui hantara Amri Yahyah yang berjaya menjumpai Faiz Nasir tetapi Igor Zonjic berjaya mematahkan percubaan Faiz pada minit ke 34. Bola banyak berlegar-legar di tengah padang dan keputusan seri tanpa jaringan kekal sehingga tamat separuh masa pertama.

Separuh masa kedua

Bersambung babak kedua, pintu gol Terengganu berada dalam bahaya apabila sepakan penjuru diberikan kepada Selangor pada minit ke 49 melalui hantaran lintang Syazwan Zainon yang berjaya dikeluarkan oleh Igor Zonjic.

Kerja keras Selangor mengasak ke kubu lawan membuahkan hasil yang lumayan apabila Faiz Nasir memanfatkan peluang dengan menyudahkan hantaran lintang Prabakaran pada minit ke 55. Jaringan itu telah membangkitkan semangat skuad gergasi merah untuk terus mengancam kubu lawan.

Faiz Nasir sekali menguji bekas pasukan lamannya pada minit ke 58 dan 61 tetapi cubaan kali ini dihalang oleh pemain pertahanan lawan dan aksi cemerlang penjaga gol Terengganu, Suffian Abdul Rahman.

Terengganu mempunyai peluang terbaik untuk menyamakan kedudukan pada minit ke 85 melalui tandukan Nasrullah Haniff namun Satiananthan boleh menarik nafas lega apabila tandukan itu tersasar keluar.

Malah, cubaan jarak dekat daripada Kipre Tchetche berjaya diselamatkan oleh Farizal Harun pada minit akhir perlawanan. Terengganu kemudian tidak bermaya lagi untuk mencari gol penyamaan sehingga pengadil meniupkan wisel penamat.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN