Melaka United terus ceria selepas menewaskan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS FC) 1-0 pada perlawanan kedua Liga Super 2019 di Stadium Shah Alam, sebentar tadi.
Aksi sepanjang permainan tidaklah begitu menghiburkan dengan usaha-usaha yang dijelmakan kedua-dua pasukan dilihat kurang mengancam gawang lawan masing-masing.
Namun, tuah sedikit memihak Melaka apabila skuad bimbingan Zainal Abidin Hassan itu dihadiahkan sepakan penalti selepas pertahanan PKNS FC, Rodney Celvin Akwensivie mengasari Patrick Reichelt dalam kawasan penalti.
Safiq Rahim yang bertanggungjawab mengambil sepakan tersebut tidak berdepan masalah menewaskan penjaga gol tuan rumah, Muhammad Zarif Irfan Hashimuddin bagi membuka tirai jaringan.
Gol yang terhasil pada minit ke-23 itu jelas meningkatkan corak permainan Melaka United untuk terus memberikan tekanan buat pertahanan PKNS FC.
Skuad Hang Tuah itu hampir menambah jaringan kedua pada minit ke-30 menerusi gerakan lincah R. Gopinathan dari sebelah kanan pintu gol PKNS FC.
Bagaimanapun, jentera serangan Melaka gagal menyudahkan peluang terhidang ketika situasi kelam-kabut di hadapan pintu gol.
Usaha PKNS FC yang sesekali mengasak juga tidak memberikan hasil diharapkan walaupun Gabriel Guerra berusaha keras dengan meledakkan rembatan dari luar kawasan penalti yang ditangkap kemas Khairul Fahmi Che Mat di gawang Melaka.
Awal babak kedua turut memperlihatkan Guerra mempamerkan kualiti kawalan bola yang cukup baik sekaligus memperdayakan dua pertahanan Melaka United, namun percubaan akhir beliau terkena kaki Wan Amirul Afiq Wan Ab Rahman bagi menggagalkan usaha tersebut.
Mohamad Qayyum Marjoni Sabil hampir menjaringkan gol sendiri pada minit ke-84 selepas usahanya untuk mengeluarkan bola tandukan Reichelt nyaris masuk ke dalam gawang sendiri, mujur Zarif Irfan pantas menepis keluar bola bagi menyelamatkan keadaan.
Jaringan tunggal daripada bekas kapten skuad kebangsaan itu kekal hingga tamat permainan untuk memberikan kemenangan kedua buat Melaka United selepas menang 2-1 keatas PJ City FC pada minggu lalu.
Kredit foto: Melaka United Soccer Association – MUSA