MSL 2019: Jaringan Sandro Pastikan Selangor Terus Kuasai Derbi Lembah Klang

Selangor

Jaringan sepakan penalti Sandro Mendonca Da Silva pada masa kecederaan menghadiahkan tiga mata penuh buat Selangor selepas berjaya menundukkan Kuala Lumpur 2-1 pada aksi Liga Super 2019 yang berlangsung di Stadium Shah Alam, sebentar tadi.

Aksi pada 25 minit awal berlangsung dengan sedikit hambar apabila tiada sebarang serangan berbahaya dapat dijelmakan kedua-dua pasukan.

Bagaikan mendengar rungutan penulis akibat aksi hambar tersebut, Selangor mula mengorak langkah dengan lebih meyakinkan pada minit ke-28.

Berpunca daripada gerakan lincah secara solo oleh Khyril Muhymeen Zambri, beliau mengumpan bola kepada Amri Yahyah dan kapten Selangor itu melepaskan rembatan dari luar kawasan penalti.

Rembatan tersebut bagaimanapun ditangkap kemas penjaga gol Kuala Lumpur, Sharbinee Allawee Ramli.

Kuala Lumpur hampir mengejutkan tuan rumah di minit ke-36 selepas hantaran lintang yang cuba dilakukan Azmi Muslim terus menuju ke gawang gol tetapi Khairulazhan Khalid sempat menepis keluar bola bagi menyelamatkan keadaan.

Tidak sampai seminit ancaman tersebut, Selangor melakukan serangan balas pantas dengan lorongan dilakukan Endrick Dos Santos mencari Ifedayo Olusegun.

Ifedayo tidak melepaskan peluang dengan melakukan tolakan mudah dalam kawasan penalti sekaligus menewaskan Sharbinee untuk membuka tirai jaringan.

Jaringan tersebut terus meningkatkan moral anak buah B. Satiananthan dengan mencipta dua peluang terbaik bagi menambah jaringan. Bagaimanapun penyudah kurang berkesan menggagalkan ledakan padu oleh Amri Yahyah dan Endrick.

Kedudukan kembali terikat apabila penyerang import Kuala Lumpur, Guilherme De Paula menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-59.

Sepakan penalti itu bagaimanapun mendapat tentangan para pemain Selangor selepas keputusan pengadil, Fitri Maskon kelihatan bercanggah dengan penjaga garisan.

Enggan terpengaruh dengan situasi tersebut, para pemain Selangor menggandakan asakan untuk sekali lagi mendahului skuad yang dibimbing Chong Yee Fat itu.

Dua peluang terbaik dalam tempoh dua minit yang dimiliki Selangor (minit ke-62 dan 63) menerusi Endrick dan Ifedayo digagalkan ketangkasan Sharbinee serta terkena tiang gol.

Kuala Lumpur yang turut melakukan beberapa gerakan ke kubu Selangor juga gagal menemui sentuhan jaringan.

Usaha Selangor membuahkan hasil pada masa kecederaan setelah Sandro Da Silva menjaringkan gol kemenangan menerusi sepakan penalti.

Sepakan tersebut diberikan selepas Luke Woodland mengasari Sean Selvaraj dalam kawasan penalti.

Dengan kemenangan ini meletakkan Selangor di tangga ketiga selepas mengumpul 25 mata.

Kredit foto: Zaid Ayid | SukanMalaysiaDotMY

 

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN