Quantcast

BERITA

‘Messi Jepun’ Bakal Sarung Jersi Real Madrid

Media Jepun semalam melaporkan bintang muda negara itu, Takefusa Kubo telah menandatangani kontrak selama lima tahun bersama kelab gergasi Sepanyol, Real Madrid dari kelab FC Tokyo.

Sebelum ini, beliau dikaitkan dengan kelab gergasi Perancis, Paris Saint-Germain (PSG) dan juara Liga Perdana Inggeris, Manchester City. Menurut laporan daripada Marca, Kubo akan memulakan kariernya di Sepanyol bersama kelab pelapis Real Madrid Castilla.

Pada usia 15 tahun, Takefusa Kubo menjadi pemain termuda untuk membuat penampilan pertama dalam Liga Jepun. Pemain itu digelar sebagai ‘Messi Jepun’ kerana aksinya yang luar biasa ketika usia sekolah rendah lagi.

Debut Kubo ini mendapat perhatian meluas oleh media Jepun dengan 182 wakil media hadir. Publisiti Kubo dan perlawanan itu juga membuatkan 7,653 peminat hadir ke Stadium Olimpik Komazawa hanya untuk menyaksikan perlawanan divisyen 3.

Mana tidaknya, Kubo memang bakat yang sentiasa mendapat perhatian media dan peminat bola sepak di Jepun.

Kehebatan beliau juga membuatkan Barcelona ingin membawa dia dan keluarganya ke Sepanyol untuk diserap ke dalam akademi La Masia pada tahun 2011.

Namun Barcelona terpaksa akur untuk melepaskan Kubo kembali ke FC Tokyo kerana disabitkan dengan kesalahan dalam perpindahan pemain. FIFA juga mengarahkan pemain ini dikembalikan ke negara asal beliau.

Biarpun beliau berpotensi untuk kembali semula ke Barcelona tetapi Real Madrid menunjukkan minat lebih mendalam dengan menandatangani pemain itu.

Los Blancos difahamkan menawarkan 2 juta Euro (RM9.3 juta) setahun menyertai kelab simpanan Real Madrid, Castilla untuk Kubo meraih pengalaman terlebih dahulu sebelum diserap ke dalam skuad utama.