Kuala Lumpur berjaya meraih kemenangan dan tiga mata pertama mereka dalam saingan Liga Super musim ini selepas berjaya membuat kejutan menewaskan Kedah dalam perlawanan minggu ke-8 di Stadium Kuala Lumpur, Cheras, sebentar tadi.
Pemain yang menjadi sasaran untuk bersama skuad kebangsaan, Guilherme de Paula menjadi wira buat skuad Warga Kota apabila jaringannya di minit ke-50 telah berjaya memberikan kemenangan berharga 2-1 Kuala Lumpur ke atas Kedah – menamatkan rentetan enam kekalahan dalam enam perlawanan liga.
Menariknya perlawanan pada malam ini adalah ianya diadili oleh tiga pegawai perlawanan daripada Maldives. Mereka adalah sebahagian daripada program rekrut yang dikelola Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) dan merupakan pengadil bertaraf FIFA.
Kuala Lumpur tampil dengan perubahan di posisi bek kiri dan kanan dengan penyenaraian Fitri Omar dan juga Hafiz Johar yang tidak beraksi dalam perlawanan liga sebelum ini. Sekali lagi, gandingan Indra Putra dan de Paula dipertaruhkan.
Terdapat perubahan dalam kesebelasan utama Kedah apabila dua pemain diberikan debut oleh Aidil Sharin dalam saingan liga dengan Ramadhan Ab. Hamid menggantikan Ifwat Akmal di gawang dan Norfiqrie Abdul Talib beraksi di posisi Rizal Ghazali.
Kuala Lumpur hampir mengejutkan Kedah seawal minit ke-5 selepas kesilapan Renan Alves dan kemudian Ramadhan yang gagal menangkap kemas hantaran bola lintang, namun ianya tidak dimanfaatkan oleh penyerang tuan rumah, de Paula.
Lima minit kemudian, skuad Warga Kota berjaya mengejutkan Kedah menerusi jaringan Luke Woodland yang menanduk kemas hantaran sepakan percuma daripada pemain tengah, Paulo Josue – itu merupakan gol pertamanya untuk saingan liga musim ini.
Selepas tewas kepada Pahang di Darul Makmur pada 8 Mac lalu, tiga perlawanan berturut-turut selepas itu termasuk dalam saingan Shopee Piala FA tempohari, Helang Merah telah ketinggalan dan melepaskan gol awal – kurang 10 minit babak pertama bermula.
Seminit kemudian, pemain tengah Kedah, Anmar Almubaraki hampir berjaya memerangkap Sharbinee Allawee menerusi percubaan derasnya namun telah diselamatkan di atas garisan gol.
Kuala Lumpur dilihat tampil berlainan di awal babak pertama dengan beberapa asakan berjaya dilakukan ke atas kubu pelawat menerusi gandingan mantap Indra Putra dan de Paula.
Sementara Kedah pula tampak bergelut di bahagian tengah sejak ketiadaan pemain muda, Fadzrul Danel. Selain itu, kombinasi permainan yang sedikit longgar antara jentera tengah dan serangan telah menambah kesulitan buat mereka.
Akhirnya, gol yang dinanti-nantikan oleh penyokong Kedah berjaya dihasilkan oleh penyerang, Fernando Rodriguez pada minit ke-31 selepas pertahanan tuan rumah gagal mengeluarkan percubaan Anmar Almubaraki – gol ketiga berturut-turut buatnya selepas kemarau jaringan sejak gol pertama pada 22 Februari lalu.
Bermula babak kedua, de Paula berjaya membantu tuan rumah untuk berada di depan semula hasil jaringan mudahnya di depan gawang Kedah pada minit ke-50 selepas percubaan daripada sepakan percuma Paulo Josue di sebelah kiri gawang Kedah.
Sejak kembali daripada kecederaan, ini merupakan gol pertamanya musim ini dan ke-57 sepanjang bersama skuad Warga Kota.
Minit ke-67, Kedah boleh menarik nafas lega apabila tandukan di depan gawang pelawat oleh de Paula selepas menerima hantaran lambung Ashri Chuchu diselamatkan oleh penjaga gol pelawat.
Fernando Rodriguez berjaya melepaskan rembatan deras dari luar kotak penalti namun Sharbinee Allawee lebih bersedia untuk menyelamatkannya pada minit ke-71 – percubaan pertama Kedah selepas hampir 30 minit babak kedua berlangsung.
5 minit kemudian gerakan serangan pantas antara pemain yang baru dimasukkan, Syahrul Azwari dan Anmar Almubaraki gagal disudahkan dengan baik menerusi percubaan jauh oleh Kedah.
Kedah mula menunjukkan kesegeraan dalam setiap gerakan serangan ke kubu lawan dalam 10 minit terakhir namun dikecewakan oleh kombinasi permainan yang longgar dan lemah.
Sharbinee Allawee dipaksa untuk menyelamatkan gawangnya di penghujung perlawanan menerusi percubaan sepakan percuma Jonatan Bauman dan memastikan tuan rumah meraih tiga mata pertama mereka untuk aksi liga musim ini.
Kekalahan ini akan membolehkan pesaing, PKNS FC yang bakal turun beraksi malam esok menentang Perak di Ipoh untuk memintas kedudukan mereka di tangga ke-3 liga.
Kuala Lumpur: Sharbinee Allawee (PG), Irfan Zakaria, Hisyamudin Sha’ari, Hafiz Johar (71′ Arif Anwar), Fitri Omar, Luke Woodland, Zhafri Yahya, Paulo Josue, Ashri Chuchu, Indra Putra Mahyuddin (K), Guilherme de Paula
Kedah: Ramadhan Ab Hamid (PG), Renan Alves, Shakir Hamzah, Norfiqrie Abdul Talib (64′ Hidhir Idris), Azmeer Yusof, Baddrol Bakhtiar (K), Amirul Hisyam, Zaquan Adha (72′ Syahrul Azwari), Anmar Almubaraki, Jonatan Bauman, Fernando Rodriguez