MSL 2018: Safee Sali Beri Persembahan MOTM Bantu PKNS Tumbangkan Pahang

Tekanan Pahang pada awal musim 2018 semakin menggunung selepas tewas 0-1 kepada PKNS FC dalam perlawanan kedua unifi Liga Super 2018 di Stadium Shah Alam malam tadi.

Gol tunggal perlawanan dijaringkan oleh Safee Sali ketika perlawanan berbaki hanya 2 minit sudah cukup untuk memberikan kemenangan pertama buat skuad bimbingan Datuk K. Rajagobal. Pahang yang mendominasi perlawanan ini pula berputih mata selepas hanya mengutip satu mata dari 2 perlawanan.

Kesebelasan utama

PKNS FC menurunkan kesebelasan utama yang sama ketika seri 2-2 menentang Terengganu FC. Bermain dalam sistem 4-4-1-1, Safee Sali diarahkan bermain di belakang Rafael Ramazotti. Di bahagian sayap, Jafri Chew dan Faris Ramli mengisi posisi pemain sayap dengan jentera tengah dikemudi oleh duo import, Jonathan Acosta dan Romel Morales.

Pahang FA juga menurunkan kesebelasan sama ketika seri 0-0 dengan Perak di halaman sendiri, kecuali di posisi bek kiri. Kali ini, Zubir Azmi menggantikan posisi yang biasanya diisi oleh Faisal Rosli.

Nurshahrul Idlan Talaha masih lagi diberi tanggungjawab untuk mengemudi jentera serangan bersama Mohamadou Sumareh di sayap kanan dan Chan Vathanaka di sayap kiri. Di tengah, Nurazam Azih bergandingan dengan R. Kogileswaran dan Safuwan Baharudin untuk membentuk trio tengah dalam sistem 4-3-3.

Serangan sayap dimatikan PKNS

Jika kita meneliti kesebelasan utama Pahang, tidak dapat dinafikan pemain sayap kanan, Mohamadou Sumareh merupakan pemain paling berbahaya. Selain memiliki fizikal yang bagus, skil dan larian direct Sumareh kerap kali mencipta panik kepada barisan pertahanan lawan.

Tetapi tidak dalam perlawanan malam ini. Sekurang-kurangnya pada 45 minit pertama.

Sumareh bukan sahaja berjaya dineutralisasikan dengan baik, malah ia menyebabkan Pahang buntu untuk mencipta peluang gol meskipun menguasai sebahagian besar perlawanan.

Di sebelah kiri, Chan Vathanaka kerap kali mempamerkan link-up play yang kemas dengan Nurshahrul Idlan Talaha yang diberi tugasan bermain sebagai false nine. Tetapi ia masih jauh untuk memecah kekukuhan benteng PKNS yang sering diberi perlindungan oleh Jafri Chew dan Faris Ramli.

Hasilnya, Pahang memerlukan masa yang agak lama iaitu 13 minit untuk mencipta percubaan tepat ke arah gol yang pertama – satu testimoni keutuhan benteng PKNS.

Peluang terdekat Pahang untuk menjaringkan gol tiba pada penghujung separuh masa pertama menerusi sepakan sudut Chan Vathanaka. Bagaimanapun siri percubaan Pahang digagalkan oleh pertahanan PKNS yang cemerlang.

Chan Cathanaka mempamerkan aksi kemas untuk Pahang ketika menentang PKNS. Bagaimanapun ia tak mencukupi selepas Pahang tewas 0-1. (Kredit: Pahang FA)

PKNS ancam melalui Safee Sali

PKNS pula sebelum itu beberapa kali mengancam melalui serangan-serangan balas. Faris Ramli dan Safee Sali adalah watak utama yang kerap kali mencipta peluang untuk PKNS.

Seawal minit ke-9 lagi, Safee Sali dihadiahkan peluang hasil kesilapan R. Kogileswaran untuk membuat percubaan. Bagaimanapun Muslim Ahmad cemerlang menyelamatkan keadaan dengan menghadang larian Safee.

Hampir 10 minit kemudian, PKNS mengancam lagi menerusi percubaan Rafael Ramazotti.

Tetapi ianya meleret melewati tiang kanan kawalan Helmi Eliza (gambar bawah). Serangan balas PKNS sekali lagi mengdatangkan masalah kepada Pahang apabila Alex Moraes dipaksa untuk menjatuhkan Faris Ramli di luar kotak penalti sebelah kanan.

Aksi Helmi Eliza ketika menentang PKNS FC. Pahang tewas 0-1. (Kredit: Pahang FA)

Pengadil menghadiahkan kad kuning kepada pertahanan lampai kelahiran Brazil dan sepakan percuma kepada PKNS. Tetapi ia gagal dimanfaatkan oleh PKNS.

Separuh masa pertama berakhir dengan kedua-dua pasukan terikat 0-0.

Duo tengah PKNS merudum

Pada separuh masa kedua, tema permainan tidak banyak berbeza berbanding separuh masa pertama. Pahang lebih dominan dari segi penguasaan bola, Muslim Ahmad cemerlang mematahkan serangan balas PKNS dan serangan sayap Pahang kerap dimatikan oleh kerajinan Jafri Chew dan Faris Ramli melakukan larian tracking back.

Dua perkara yang berbeza adalah duo tengah PKNS FC, Romel Morales dan Jonathan Acosta mempamerkan persembahan yang jauh lebih buruk berbanding separuh masa pertama dan Safee Sali bekerja jauh lebih keras.

Sebagai pemain import, adalah sesuatu yang memalukan bagi penyokong PKNS (kira-kira 200 orang) apabila melihat kesilapan demi kesilapan hantaran yang dilakukan oleh Morales dan Acosta. Safee pula mempamerkan aksi yang jauh lebih baik pada separuh masa kedua.

Pada minit ke-59 beliau hampir-hampir menjaringkan gol pembukaan hasil kerja baik dari rutin sepakan sudut pendek dengan Faris Ramli. Tetapi posisi Helmi Eliza tepat untuk menangkap kemas rembatan Safee.

Pelan B Pahang

Ketika perlawanan berbaki 10 minit, Pahang mula melancarkan pelan B mereka – meletakkan Safuwan sebagai penyerang dalam sistem 4-4-2. Mereka menjadi lebih direct, tempo hantaran mula dilajukan dan pertahanan meninggikan lagi garisan defensif mereka.

Pelan ini ada kesannya – PKNS menjadi semakin sukar mendapat bola kerana kebolehan udara Safuwan kerap kali mencipta situasi panik di kubu PKNS.

Pada minit ke 84′ peluang keemasan Pahang tiba apabila Sumareh berjaya menewaskan Qayyum Marjoni dalam situasi 1v1 di sayap kanan.

Ketika Safuwan yang menunggu dalam kotak penalti tampak pasti untuk menjaringkan gol, muncul Zach Anderson yang cemerlang memintas hantaran lintang Sumareh. Sekaligus melegakan seketika PKNS.

Ketika kedua-dua pasukan – terutamanya Pahang – nampak buntu menjaringkan gol, muncul Safee Sali yang menanduk masuk tepisan bola Helmi Eliza hasil sepakan sudut Mahali Jasuli. Pahang FA pastinya meratapi nasib malang mereka selepas mendominasi perlawanan. Tetapi PKNS FC tidak peduli.

Pemain terbaik perlawanan: Safee Sali (PKNS FC)

Kesebelasan utama:

PKNS FC: Shahril Saari (PG), K. Reuben, Zachary Anderson, Azmizi Azmi, Qayyum Marjoni, Jafri Chew, Romel Morales, Jonathan Acosta, Faris Ramli, Safee Sali (kapten), Rafael Ramazotti

PAHANG FC: Helmi Eliza (PG), Matthew Davies (kapten), Alex Moraes, Muslim Ahmad, Zubir Azmi, Mohamadou Sumareh, Nor Azam Azih, Safuwan Baharudin, R. Kogileswaran, Chan Vathanaka, Nurshahrul Idlan Talaha

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN