MSL 2018: Pertahanan Kedah Buat 4 Kesilapan Untuk Beri KL Kemenangan 4-3

Kuala Lumpur mengejutkan satu lagi pasukan gergasi selepas menewaskan Kedah 4-3 dalam perlawanan unifi Liga Super 2018 yang penuh drama di Stadium KLFA, Cheras malam tadi. Gol KL dijaringkan oleh Zaquan Adha, Guilherme de Paula, Paulo Josue dan Ashri Chuchu.

Manakal 2 gol Kedah pula dijaringkan oleh penyerang yang sedang hebat dikritik penyokong Kedah, Pablo Pallares. Liridon Krasniqi menjaringkan 1 lagi gol Kedah.

Kuala Lumpur yang tidak konsisten dalam aksi unifi Liga Super 2018 ketika ini turun dengan sistem 5-3-2 yang ditunjangi oleh Zaquan Adha dan Guilherme de Paula di bahagian serangan.

Sistem 5-3-2 yang diterapkan oleh ketua jurulatih KL, Fabio Maciel pada musim ini tidak asing buat 2 pemain muda mereka. Irfan Zakaria dan Syazwan Andik masing-masing mengisi posisi tengah dan bek sayap kiri.

Kedah pula tidak membuat apa-apa kejutan dari aspek kesebelasan utama mereka. Dengan ketiadaan Baddrol Bakhtiar, Farhan Roslan ditugaskan bermain di sayap kanan.

Andik Vermansyah yang bertugas sebagai central winger ketika kemenangan 4-3 Kedah ke atas PKNS FC kembali ke posisi asalnya di sayap kiri. Di bahagian serangan, Pablo Pallares yang sedang hebat dikecam penyokong Kedah tetap diberi kepercayaan oleh Ramon Marcote untuk mengepalai jentera serangan.

KL buat kejutan

Seperti dijangka, Kedah memulakan perlawanan dengan dominasi penguasaan bola yang tinggi. Manakala KL pula lebih memilih untuk menyerap asakan pasukan Lang Merah ini sebelum melancarkan serangan balas menerusi larian-larian di channels oleh Guilherme de Paula.

Kedah bagaimanapun terlebih dahulu menembak kaki mereka sendiri pada minit ke-3 apabila kapten, Khairul Helmi dengan sewenang-wenangnya menyerahkan penguasaan bola kepada Zaquan Adha yang pantas menutup ruangnya untuk bermain dari belakang. Zaquan kemudiannya menggunakan peluang ini untuk menjaringkan gol pembukaan perlawanan.

Bagaimanapun pendahuluan KL ini tidak bertahan lama. 7 minit kemudian hantaran Liridon Krasniqi menemui kepala Pablo Pallares untuk Kedah menyamakan kedudukan 1-1. Barangkali Bobirjon Akbarov akan melihat kembali gol ini dan berpendapat beliau sepatutnya boleh memintas hantaran Liridon tersebut jika beliau berada di posisi yang betul.

Penyerang Kedah, Pablo Pallares menanduk masuk gol penyamaan ketika menentang Kuala Lumpur di Stadium KLFA, Cheras. (Foto: Kedah FA)

Kedah buntu di depan gol

Selepas berjaya menjaringkan gol penyamaan, Kedah semakin bersemangat menguji kekebalan kubu pertahanan KL. Tetapi kegagalan Andik Vermansyah dan Farhan Roslan membuat hantaran-hantaran lintang yang menemui rakan penyerang, ditambah pula dengan team shape KL yang kompak ketika hilang bola, menyebabkan Kedah terus buntu di depan gol.

KL paling banyak menghadapi masalah di bahagian kiri apabila Rizal Ghazali kerap kali menyokong gerakan serangan pemain sayap di hadapannya untuk mencipta situasi 2v1 di sana. Maka tak hairanlah gol penyamaan Kedah juga terhasil dari operasi sayap kanan mereka yang sangat aktif ini.

Serangan demi serangan daripada Kedah ini juga memaksa pertahanan KL untuk melakukan aksi bertahan yang dramatik yang menafikan 2 percubaan berbahaya daripada Andik dan Pallares.

Liridon beri inspirasi lagi

Sebaik separuh masa kedua bermula, Kedah menyambung tugas mereka seperti biasa dengan menyerang KL melalui serangan di bahagian sayap.

Usaha pasukan pelawat ini membuahkan hasil sekali lagi pada minit ke-46. Berpunca daripada percubaan jarak jauh Akram Mahinan yang terlantun keluar, bola kemudiannya disambar oleh Rizal Ghazali di sayap kanan.

Selepas itu, Rizal membuat hantaran lintang yang tepat menemui kaki Liridon Krasniqi untuk gol ke-2 Kedah. Ini juga merupakan gol ke-3 peribadinya dalam 2 perlawanan liga.

Liridon Krasniqi meraikan golnya bersama pemain-pemain Kedah (Foto: Kedah FA)

Tetapi penyakit Kedah yang gemar leka di bahagian pertahanan kembali menghantui mereka sekali lagi.

Pada minit ke-61, Zaquan Adha berjaya mencuri bola daripada penguasaan Alvaro Silva sebelum berdepan dengan Khairul Helmi dalam situasi 1v1. Biarpun menyedari larian Zaquan lambat disokong oleh pemain-pemain KL lain, kapten Kedah ini sekali lagi membuat kesilapan dengan membentes Zaquan – sekaligus menghadiahkan penalti buat KL.

Guilherme de Paula yang kemarau gol sejak perlawanan pertama liga tidak mempunyai masalah untuk menyempurnakan sepakan penalti ini. KL 2-2 Kedah.

Kedah tembak kaki sendiri

Biarpun menguasai sebahagian besar perlawanan, Kedah tetap goyah di belakang – bukan kerana kehebatan KL, sebaliknya kerana kesilapan demi kesilapan yang dilakukan mereka di jentera pertahanan.

Pada minit ke-82, kegagalan pemain Kedah untuk mengikuti larian Syazwan Andik di sebelah kiri mencipta situasi 2v1 yang mendedahkan kelompongan di zon Rizal Ghazali beroperasi. Rizal yang sibuk mengawal de Paula, tidak berupaya untuk menghalang hantaran lintang Syazwan yang kemudiannya ditampan oleh Paulo Josue.

Ketinggalan 3-2, Kedah masih belum mahu mengibar bendera putih. Pada minit ke-90, Akhyar Rashid yang masuk menggantikan Farhan Roslan yang kurang efektif membuat larian bijak di sebelah kanan dan membuat cross-shot yang terkena palang sebelum ditampan oleh Pallares.

Ketika perlawanan nampak berakhir seri 1-1, giliran Ifwat Akmal pula menembak kaki pasukannya sendiri apabila gagal menampan kemas rembatan rendah de Paula yang singgah ke laluan larian pemain gantian, Ashri Chuchu untuk menghadiahkan gol ke-4 tuan rumah.

Dengan kekalahan 3-4 ini, Kedah pastinya tertanya-tanya bagaimana mereka pualng dengan tangan kosong walaupun mendominasi perlawanan ini. Tetapi berdasarkan pertahanan mereka pada malam ini, tidak hairanlah Kedah bolos 12 gol dalam hanya 5 perlawanan.

Pemain terbaik perlawanan: Guilherme de Paula (Kuala Lumpur)

Kuala Lumpur (5-3-2): Kamarul Effandi (GK), Syazwan Andik, Firdaus Faudzi, Hisyamuddin Shaari, Bobirjon Akbarov, Achmad Jufriyanto, Irfan Zakaria, Paulo Josue, Indra Putra, Zaquan Adha, Guilherme de Paula.

Kedah (4-2-3-1): Ifwat Akmal (GK), Rizal Ghazali, Ariff Farhan, Alvaro Silva, Khairul Helmi, Akram Mahinan (Amirul Hisyam), Liridon Krasniqi, Sandro da Silva, Farhan Roslan (Akhyar Rashid), Andik Vermansyah, Pablo Palleres.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN