MSL 2018: Yahor Zubovich Cemerlang Bantu Melaka United Ungguli Derbi Naning

Melaka United membuktikan persaingan Derbi Naning kekal dikuasai skuad Hang Tuah selepas berjaya menundukkan Negeri Sembilan 3-0 dalam saingan unifi Liga Super di Stadium Hang Jebat malam Ahad lepas.

Melaka United turun dengan membuat sedikit perubahan pada kesebelasan utama dengan meletakkan R Gopinathan dan mengembalikan Nicholas Swirad di bahagian pertahanan.

Sementara itu, tiada perubahan yang ketara bagi kesebelasan utama Negeri Sembilan kecuali Muhammad Fakhrul Aiman yang menggantikan penyerang import Nicolas Velez.

Perlawanan bermula agak perlahan dengan kedua-dua pasukan agak berhati-hati dalam mengatur serangan. Ini menyebabkan tiada percubaan berbahaya dihasilkan sehinggalah permainan memasuki minit ke-15.

Tuan rumah, Melaka United mula menggandakan asakan dan memiliki peluang terbaik pada minit ke 19. Namun percubaan Yahor Zubovich berjaya dibias pertahanan lawan.

Berselang seminit kemudian, Melaka sekali lagi mengasak dan memperoleh sepakan percuma. Namun pemain import pertahanan mereka, Steven Thicot gagal menanduk sepakan percuma R Surendran sekaligus melegakan skuad pelawat.

Meskipun serangan bertali arus dilancarkan pasukan Melaka, skuad kendalian Jorg Steinebrunner tetap mempunyai peluang untuk mengejutkan tuan rumah. Bagaimanapun percubaan Khairul Izuan Rosli dalam kotak penalti berjaya digagalkan Steven Thicot.

Melaka akhirnya mendahului lawan pada minit ke-32 menerusi jaringan Yahor Zubovich. Penyerang Belarus ini pantas menyambar percubaan pertama R. Gopinathan yang terlebih dahulu ditepis penjaga gol Negeri Sembilan, Saiful Amar sebelum terkena palang gol dan jatuh ke laluan Zubovich.

8 minit kemudian, Zubovich sekali lagi menggandakan jaringan pada minit ke-40 menerusi sentuhan mudah hasil sepakan penjuru Shahdan Sulaiman dari sebelah kanan pintu gol pelawat. Gol itu memberikan kelebihan 2-0 buat tuan rumah sehinggalah wisel separuh masa pertama ditiupkan.

Separuh masa kedua

Masuk babak kedua perlawanan, Negeri Sembilan membuat pertukaran ofensif dengan membawa masuk Aroon Kumar yang beraksi di bahagian sayap kanan dan membawa keluar Noor Hazrul.

Corak permainan skuad Jang sedikit berubah. Serangan demi serangan berjaya dilancarkan sehinggakan membuat Melaka terpaksa berkampung untuk menyerap asakan bertubi-tubi lawan.

Namun demikian, Melaka kembali menguasai permainan menjelang minit ke-71 hasil jaringan R. Gopinathan. Bekas pemain sayap Selangor dan JDT ini mudah menolak masuk hantaran Zubovich dari sebelah kiri pintu gol lawan sekaligus seakan membunuh semangat kebangkitan Negeri Sembilan pada awal separuh masa kedua tadi.

Berbaki 5 minit permainan, Melaka seakan tidak mahu mengendur asakan dan hampir menambah jaringan keempat. Mujurlah penjaga gol gantian Negeri Sembilan, Mohd Kaharudin lebih bersedia untuk menepis keluar rembatan kencang G. Puaneswaran dari sebelah kiri pintu gol lawan.

Tamat permainan menyaksikan Melaka United berjaya melakar kemenangan 3-0 sekaligus meletakkan Melaka berada di kedudukan ke-empat Liga Super. Pasukan kendalian Eduardo Almeida ini akan bertemu JDT di Larkin dalam derbi Selatan pula pada 24 Febuari nanti.

Barisan pemain-pemain

Melaka United: Zamir Selamat (PG), Nicholas Swirad, R Surendran (K) (74′ Ahmad Fakri Saarani), Jeon Woo Young, Tiago Gomes, Steven Thicot, Shahdan Sulaiman (65′ S Sivanesan), Yahor Zubovich (80′ Farderin Kadir), R Gopinanthan, Khair Jones, G Puaneswaran.

Negeri Sembilan: Saiful Amar (PG) (46′ Mohamad Kaharuddin Abd Rahman), Mohd Rizal Fahmi (66′ N Thanabalan), Flavio Junior, Mohd Aizulridzwan, Mohd Noor Hazrul (46′ Aroon Kumar), Mohd Khairul Izuan, Mohd Faizal Abu Bakar, Mony Udom Prak, Renars Rode, Dohean Kim (K), Muhammad Fakhrul Aiman.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN