Negeri Sembilan melayan kunjungan pasukan Kedah di Paroi. Ini merupakan debut Mario Lemos bersama skuad Jang.
Kedah melakukan beberapa perubahan dalam kesebelasan utama mereka. Tiada nama Sandro membuatkan mereka meletakkan Akhyar sebagai 9 jadian. Mereka juga kehilangan khidmat Andik Vermansyah untuk perlawanan ini.
Kerisauan utama penyokong Kedah adalah pastinya kerapuhan Kedah dalam mempertahankan kelebihan gol. Namun dalam perlawanan ini mereka berjaya melepasi cabaran agak getir dilakukan Negeri Sembilan.
Skuad Negeri Sembilan cuba bangkit pada separuh masa kedua tetapi gagal untuk melakukannya.
Separuh masa pertama
Kedah mendahului seawal minit ke-8 menerusi pemain berpengaruh mereka Liridon Krasniqi. Tidak lama selepas itu, mereka menambah gol menerusi Akhyar Rashid yang bermain sebagai false 9.
Pada minit ke-27 dan ke-32, Baddrol dan Akhyar melakukan percubaan jarak dekat 1 lawan 1 dengan penjaga gol tetapi diselamatkan.
Negeri Sembilan bergelut untuk mencipta peluang dalam perlawanan ini. Kedah jelas menikmati separuh masa pertama dengan ruang yang diberikan Negeri Sembilan di atas padang yang sangat terbuka.
Separuh masa kedua
Bersambung babak kedua, Negeri Sembilan tampil lebih positif untuk menyerang. Flavio Beck melakukan percubaan deras dari jarak jauh yang cantik pada minit ke-60 dan memaksa Ifwat melakukan ‘save’.
Kedah kemudian bermain dengan tempo yang longgar. Nicholas Velez mensia-siakan peluang keemasan minit ke-74. Beliau melakukan lob yang tinggi.
Tidak lama selepas itu, Flavio Beck melakukan percubaan leret deras menewaskan Ifwat Akmal. Kredit kepada Velez yang memenangi duel dan melorongkan kepada Flavio. Tiada apa yang mampu dilakukan oleh Ifwat.
Negeri Sembilan kemudian memberikan masalah kepada Kedah. Mereka berusaha untuk mendapatkan gol kedua. Kedah cuba memperbaiki struktur pertahanan mereka.
Pada minit ke-88, Stadium Paroi jadi panas apabila Flavio Beck mendakwa dirinya dijatuhkan di dalam kotak penalti. Namun pengadil tidak memberikan penalti kerana simulasi.
Pada masa kecederaan Muhammad Ilham melakukan satu save berkualiti menafikan percubaan Akram Mahinan.
Perlawanan berakhir Kedah menang 1-2 ke atas Negeri Sembilan.
Selepas wisel penamat
Kemenangan ini meletakkan Kedah di tangga ke-5. Manakala pasukan Negeri Sembilan terus berada di dasar liga dengan hanya 5 mata.
Negeri Sembilan meneruskan rekod tanpa kemenangan dalam 9 perlawanan terakhir mereka dalam semua pertandingan.
Manakala dalam Liga Super mereka masih tak menang dalam 8 perlawanan terakhir mereka. Hanya 2 mata daripada 24 yang ditawarkan.
Kedah mengakhiri rekod tanpa menang dalam 3 perlawanan sebelum ini.