Secara matematika, Kelantan sudah tersingkir dari saingan Liga Super pada musim hadapan.
Walaupun berkongsi mata bersama Negeri Sembilan, dan enam mata di belakang Kuala Lumpur dan Selangor ditangga ke-10 dan ke-9 liga, jurang perbezaan jaringan yang besar dalam baki dua saingan musim ini bermakna hanya keajaiban boleh membantu skuad The Red Warriors.
Hadir ke Larkin dalam perlawanan yang ditunda khas untuk membenarkan JDT meraikan kejayaan menjulang kejuaraan unifi Liga Super 2018, ia adalah malam yang sempurna buat pasukan gergasi dari selatan tanah air itu.
Percubaan pertama JDT ke arah gawang Kelantan tampil seawal minit ke-11 melalui pemain import, Fernando Elizari.
Tidak banyak yang boleh diperkatakan pada babak pertama perlawanan dengan kedudukan terikat 0-0, menyaksikan beberapa gerakan set pieces dari JDT turut dipersia-siakan.
Bermula babak kedua perlawanan, JDT tidak menunggu lama untuk berada di hadapan apabila mendahului melalui 1-0 hasil jaringan Elizari.
Selang enam minit kemudian, giliran Afiq Fazail meletakkan JDT selesa mendahului 2-0.
Selepas dua jaringan di dalam tempoh enam minit tersebut, ianya semakin jelas malam ini adalah milik JDT.
Minit ke-79 menyaksikan JDT semakin rakus apabila Safawi Rasid berjaya menyempurnakan sepakan penjuru Safiq Rahim untuk JDT semakin selesa melebarkan pendahuluan 3-0.
Menuju babak akhir perlawanan, giliran kapten JDT, Safiq Rahim mencetak nama di dalam senarai penjaring apabila dengan yakin menyempurnakan sepakan penalti untuk JDT mendahului 4-0.
Keputusan kekal sehingga wisel penamat, dan malam ini sah milik pasukan dari selatan tanah air, JDT.
Tahniah buat juara Liga Super Malaysia lima kali berturut-turut, JDT!