MPFL: Melaka Rampas Kejuaraan 30 Saat Sebelum Perlawanan Tamat

Melaka berjaya muncul Juara saingan Cuckoo Malaysia Premier Futsal League (MPFL) 2022 selepas menewaskan Selangor MBSJ 3-2.

Skuad Melaka berjaya menjaringkan gol kemenangan mereka menewaskan Selangor MBSJ dengan perlawanan hanya berbaki 30 detik sahaja lagi sebelum ditamatkan.

Kedua-dua pasukan mempamerkan aksi persembahan yang sungguh menakjubkan dengan mereka dilihat saling berbalas serangan.

Saling berhalas serangan, berbalas gol, aksi kontroversi, emosi dan pelbagai lagi hal menarik telah menghiasi aksi perlawanan terakhir kedua-dua pasukan itu.

Kedua-dua Melaka dan Selangor MBSJ turun beraksi dalam perlawanan terakhir mereka musim ini di Stadium Panasonic Shah Alam pagi tadi.

Selangor hanya memerlukan keputusan seri sahaja untuk muncul Juara dengan mereka turun dalam perlawanan ini sebagai pendahulu liga mengatasi Melaka dengan kelebihan satu mata.

Saling berbalas gol menjadikan perlawanan semakin menarik

Farahiyah Muhamad Ridzuan berjaya membuka tirai jaringan untuk skuad Selangor MBSJ mendahului perlawanan pada awal aksi babak pertama.

Siti Asnidah Zamri kemudiannya berjaya memadam gol pendahuluan tersebut dengan beliau mencatat nama sebagai penjaring gol untuk Melaka.

Asnida meledak gol menerusi sepakan penalti yang mana para pemain Selangor jelas tak berpuas hati dengan keputusan pengadil perlawanan yang menghadiahkan sepakan penalti tersebut kepada pasukan Melaka.

Pengadil mendakwa bola terkena tangan pemain Selangor MBSJ di dalam kotak penalti, dengan para pemain mengaku bola terkena tangan namun insiden itu berlaku di luar kotak.

Pengadil tetap dengan keputusannya dengan sepakan penalti tetap diberikan kepada Melaka.

Melaka kemudiannya berjaya menjaringkan gol pendahuluan pada minit ke-17 permainan hasil gol sendiri jaringan Norhawa Md Yasin.

Nur Shazreen Munazli muncul penyelamatan skuad Selangor MBSJ dengan beliau berjaya menjaringkan gol penyamaan untuk ikat kedudukan 2-2.

Melaka kemudiannya bermain tanpa penjaga gol dengan kesemua pemain naik atas melancarkan serangan untuk mencari gol pendahuluan.

Para pemain Selangor sekadar bertahan untuk menunggu wisel penamat dibunyikan kerana mereka hanya memerlukan keputusan seri untuk muncul Juara.

Usaha Melaka menyerang dengan menggunakan semua pemain membuahkan hasil selepas Syafiqah Zainal Abidin meledak gol kemenangan pada minit terakhir permainan.

Skuad Selangor jelas kecewa dengan kekalahan tersebut, kerana mereka hanya 30 detik sahaja lagi dipisahkan dari kejuaraan.

Intan Sarah nadi utama sebalik kejayaan Melaka

Tidak boleh dinafikan lagi Intan Sarah layak untuk dinobatkan sebagai pemain terbaik kejohanan dengan beliau menjadi nadi terpenting Melaka ketika menewaskan Selangor hari ini.

Tanpa beliau gawang Melaka mungkin beberapa kali dibolosi hari ini dengan Intan bermati-matian memastikan gawang gol mereka tak dibolosi.

Beliau tidak kerap naik ke atas untuk membantu jentera serangan kerana lebih menumpukan untuk membantu barisan pertahanan.

“So basically diorang cakap saya ni semangat diorang lah, jadi kalau saya menunjukkan yang saya tak bersemangat dalam padang, diorang pun akan jatuh, so saya akan tunjukkan dekat diorang and jadi benteng terakhir untuk back up diorang lah.”

“Jadi kitorang sempat bertahan, walaupun kitorang dah seri tadi, dan kalau kitorang seri kitorang kalah, tapi kitorang berjaya jaringkan gol 30 saat terakhir, so itu adalah moment terbaiklah, sebab hari tu pun kitorang kalah pun sebab gol 40 saat terakhir, jadi orang cakap ini revenge lah.”

Jelas Intan Sarah kepada wartawan Semuanya Bola.

Pemain Selangor MBSJ kecewa dua keputusan pengadil punca mereka bolos dua gol

Para pemain Selangor MBSJ kecewa kerana dua keputusan pengadil dalam perlawanan ini telah menyebabkan mereka bolos dua gol awal.

Pertama mereka menganggap yang penalti itu tak sepatutnya diberikan kerana handball berlaku di luar kotak penalti.

Kedua mereka menganggap yang sepakan percuma itu juga tak sepatutnya diberikan kerana pemain Melaka yang mengasari pemain Selangor terlebih dahulu.

“Bagi saya semua orang pun nampak kan, keputusan pengadil memang saya rasa unfair lah, unfair decision, kitorang pun ada buat salah, diorang pun ada buat salah, tapi tak apa lah, letak tepi semua tu “

Jelas ketua pasukan Selangor, Steffi.

“Ini perlawanan akhir kan, kita tahu pengadil tak akan menyebelahi kita, tak akan menyebelahi team sana, pengadil adalah pengadil, so apa keputusan dia kita kena terima juga lah.”

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN