MPFL: Jadi Bahan ‘Kenduri’, Intan Sarah Rasa Pemain KL ‘Down’ Sebab Masalah Dalaman

Intan Sarah Anisah kongsi rasa simpati beliau terhadap skuad Kuala Lumpur dan berharap agar masalah dalaman yang mereka hadapi dapat diselesaikan secepat mungkin.

Skuad futsal wanita Kuala Lumpur sebelum ini menarik perhatian ramai apabila mereka dibelasah 26-0 oleh Melaka dalam saingan Liga Premier Futsal Malaysia (MPFL).

Mungkin ramai yang tertanya-tanya mengapa skuad Kuala Lumpur boleh dibelasah seteruk itu, dan satu jawapan yang mungkin jadi penyebab adalah kerana mereka ketika itu hanya memiliki enam orang pemain sahaja.

Beberapa kisah dikongsikan oleh beberapa media tempatan, termasuk 16 pemain utama ‘memboikot’ tidak mahu beraksi gara-gara isu dalaman bersama pengurusan, termasuk isu gaji.

Selepas kejayaan beliau membantu skuad Melaka menewaskan Sabah 3-1 petang semalam, wartawan Semuanya Bola sempat bertanya kepada Intan Sarah tentang situasi skuad Kuala Lumpur.

“Saya rasa pihak pengurusan kena bertanggungjawab, saya tak boleh nak cakap banyak sebab saya pun tak ada dekat tempat diorang, so saya cuma harap diorang dapat selesaikan dengan betul dan jaga kebajikan pemain.”

Jelas pemain yang menjaringkan enam gol untuk Melaka ketika membenam Kuala Lumpur 26-0 itu.

“Kalau saya sendiri kena benda-benda macam tu, dah tentu pemain akan down kan. Jadi kesian lah.”

PFAM mahukan keadilan

Sebagai badan yang menaungi pemain-pemain bola sepak di negara ini, PFAM menuntut agar siasatan dijalankan agar punca masalah dapat diketahui, dan nasib pemain-pemain ini terbela.

Berdasarkan pertemuan oleh pihak PFAM dengan pemain futsal wanita Kuala Lumpur, para pemain mendakwa bahawa pihak pengurusan telah pun bersetuju untuk menawarkan gaji / elaun sebanyak RM 1,400 kepada semua pemain bagi tujuan penyertaan liga futsal yang dijadualkan berlangsung secara karnival bermula pada 8 Mac 2022 hingga 23 Mac 2022.

Menurut mereka, pihak pengurusan telah berjanji untuk membuat bayaran tersebut SEBELUM perlawanan pertama yang bermula pada 8 Mac 2022. Namun begitu, para pemain tidak pun menerima bayaran sepertimana yang dijanjikan.

Pemain juga telah dijanjikan sekali lagi bahawa bayaran akan dibuat pada 15 Mac 2022. Walaupun begitu, mereka tidak menerima sebarang pembayaran seperti yang telah dijanjikan.

Bukan sahaja tidak dibayar gaji, malah berdasarkan aduan pemain, mereka telah dihalau dari penginapan ‘homestay’ mereka akibat kegagalan pengurusan membayar sewa penginapan Keadaan ini menyebabkan pemain terpaksa menanggung sendiri kos pengangkutan dan makanan.

“Lebih mendukacitakan, para pemain tidak diberikan kontrak / surat tawaran yang menyatakan tentang pemberian gaji sebanyak RM1,400, tetapi hanya diberikan Surat Tawaran yang menyatakan pemberian elaun bulanan sebanyak RM100 sahaja – yang ternyata amat jauh berbeza sepertimana yang dijanjikan,”

Jelas kenyataan dari PFAM.

“Para pemain juga mendakwa bahawa alasan skuad Kuala Lumpur dijangkiti Covid-19 hanyalah merupakan helah yang dibuat oleh pihak pengurusan bagi melindungi “kisah sebenar” ketidakhadiran para pemain dalam perlawanan yang melibatkan pasukan Kuala Lumpur dan pasukan Melaka United.

“Berdasarkan aduan yang dibuat oleh para pemain, PFAM merasakan bahawa wujud unsur penganiayaan yang wajar diberikan perhatian secara serius oleh pihak pengurusan Kuala Lumpur dan juga pihak penganjur Liga Futsal, iaitu Persatuan Bolasepak Malaysia.”

Tanggungjawab siapa?

Timbul persoalan tanggungjawab siapakah skuad futsal wanita Kuala Lumpur? Dalam perkembangan berlainan, portal Cakap Sukan mendedahkan skuad futsal wanita Kuala Lumpur bukan berada di bawah tanggungjawab KL City FC atau pun Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA).

Sebaliknya pasukan itu berada di bawah naungan pihak ketiga, iaitu TOT United Futsal.

Menurut Setiausaha Agung KLFA, Nokman Mustaffa pihak TOT United Futsal telah berjumpa dengan beliau untuk meminta slot menyertai liga (MPFL) pada musim ini.

Kebenaran diberikan oleh pihak KLFA memandangkan sememangnya ada kekosongan untuk berbuat demikian.

Intan Sarah yakin bakal bantu Melaka muncul Juara

Srikandi futsal negara itu berjaya menjaringkan gol ketika aksi menewaskan Sabah 3-1 semalam, dengan beliau turut berpuas hati dengan persembahan rakan sepasukannya.

“Kitorang akan cuba perbaiki kekurangan, Sabah babak kedua main pressing, tapi kitorang berjaya juga kacau rythm diorang dan betulkan apa yang tak betul dalam persembahan kitorang.”

Intan Sarah juga yakin Melaka mampu menjuarai kejohanan tahun ini memandangkan jurang mata antara mereka dengan Selangor sangat hampir.

Ketika ditanya apa persiapan beliau untuk berdepan Selangor memandangkan mereka pernah tewas sebelum ini, Intan menjawab:

“Kami nak comeback balik hari Rabu nanti lah, sebab tengok point pun tak jauh sangat, kiranya siapa menang, dia lah akan menang liga ni. Insyaallah.”

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN