Tonggak Pahang Rangers, Saiful Nizam Mohd Ali mahu meneruskan sentuhan jaringan cemerlangnya dalam Malaysia Premier Futsal League (MPFL) seterusnya mengekalkan gelaran penjaring terbanyak jika saingan diteruskan semula.
Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) masih belum membuat pengumuman mengenai status pertandingan di bawah kelolaan mereka tetapi Setiausaha Agung badan induk itu Stuart Ramalingam sebelum ini telah memberi bayangan ia akan diteruskan pada September sama seperti saingan Liga Malaysia.
Justeru, Saiful Nizam yang meledak dua gol dalam aksi sulung MPFL 2020 ketika Pahang Rangers menewaskan Sarawak 9-1 pada 14 Mac lalu sebelum liga kemudiannya ditangguhkan, berharap dapat meneruskan momentum seterusnya membantu Pahang Rangers merampas kejuaraan dari Selangor.
“Saya harap dapat meningkatkan prestasi dan mengulangi gelaran penjaring terbanyak sekali lagi. Tapi itu bukan sasaran utama saya.
“Keutamaan saya tahun ini untuk membawa Pahang Rangers bergelar juara. Kalau dapat penjaring terbanyak tu bonus tetapi saya akui bukan mudah untuk melakukannya kerana prestasi pastinya sedikit terjejas apabila berehat lama disebabkan Covid-19. Saya kena kerja keras dan harap semua pemain dapat mengekalkan disiplin untuk kekal cergas,” kata Saiful Nizam.
Saiful Nizam yang merupakan pivot pasukan kebangsaan berkongsi kedudukan penjaring terbanyak MPFL musim lalu bersama dua lagi pemain kebangsaan Fariq Ahmad (Selangor) dan Ridzwan Bakri (Perak) dengan 18 gol.
Ridzwan bagaimanapun telah menyertainya di Pahang Rangers musim ini dan Saiful Nizam berpendapat ia mencerminkan kesungguhan dan keghairahan pengurusan untuk menjadikan pasukan itu gergasi futsal tanah air.
“Kehadiran Iwan (Ridzwan) adalah tonik buat pasukan, mana-mana pasukan mahu pemain yang lincah sepertinya dan boleh memberi nilai tambah kepada pasukan.
“Tahun lalu kami bermula sebagai pilihan, mencabar Selangor malah berjaya menewaskan mereka tetapi hilang fokus pada beberapa perlawanan terakhir.
“Tahun ini kami mahu menebusnya, dengan adanya lapan pemain kebangsaan di dalam skuad, saya percaya ini akan menjadi tahun bertuah buat Pahang Rangers tetapi kita jangan dibuai keyakinan tinggi dan lebih yang penting kita harap liga dapat bersambung semula,” tambahnya.
Saiful Nizam pernah menjulang Liga Futsal Kebangsaan sebanyak empat kali, masing-masing dua kali bersama Felda United (2013 dan 2014) dan Melaka (2017 dan 2018).
Dia telah bersama skuad kebangsaan sejak 2012 dengan pencapaian terbaik dua kali memenangi medal naib juara Kejohanan Futsal AFF pada 2017 dan 2018.