Pemain skuad futsal Perak, Muhammad Zamiruddin Jalaludin menyifatkan faktor disiplin tinggi menjadi pendorong kepada kejayaan Perak menumpaskan Pahang Rangers FC 6-5 di Stadium Indera Mulia, malam tadi.
Pahang yang dibarisi enam pemain skuad kebangsaan tidak memberikan laluan yang mudah buat Perak dan berjaya mendahului tuan rumah sebanyak tiga kali.
Dengan aksi saling berbalas serangan dan gol dapat dicipta, tidak keterlaluan untuk mengatakan aksi dua pasukan tersebut adalah antara yang terbaik sepanjang kempen Liga Premier Futsal Malaysia (MPFL) 2019.
Bagi Zamiruddin yang turut menjaringkan gol pada perlawanan tersebut, beliau melihat disiplin dan semangat juang tinggi dipamerkan rakan sepasukannya menjadi kunci kepada kejayaan manis tersebut.
“Ternyata semangat juang tinggi yang dipamerkan para pemain menjadi kunci kepada kejayaan kami dalam mencipta kejayaan menumpaskan Pahang.”
”Seperti yang kita semua ketahui, Pahang adalah antara pasukan pilihan juara dalam saingan MPFL 2019 dengan kehadiran beberapa pemain berpengalaman skuad kebangsaan.”
”Disiplin sewaktu beraksi juga turut menjadi mendorong kepada kejayaan kami walaupun Pahang tampil dengan garang untuk mencipta jaringan,” ujar beliau lagi yang ditemui wakil Semuanya BOLA selepas perlawanan.
Zamiruddin yang bersama skuad futsal Perak sejak tahun 2015 itu turut melihat sokongan padu diberikan penyokong juga membantu pasukannya.
”Selain itu, sokongan padu yang diberikan penyokong setia Perak menyemarakkan lagi semangat kami untuk mencipta kejutan ini.”
Dengan kemenangan bermakna tersebut, Perak melonjak ke tangga ketiga selepas mengumpul 11 mata manakala Pahang Rangers kekal ditangga kedua, berkelebihan empat mata dihadapan Perak.
Kredit foto: Perak Futsal