Intan Sarah Anisah Zulgafli yang dipilih sebagai pemain terbaik kejohanan Liga Premier Futsal Malaysia (MPFL) 2019 kategori wanita mengakui bahawa tidak terlintas langsung di fikirannya untuk meraih gelaran tersebut.
Pemain berusia 20 tahun itu merupakan antara tonggak utama skuad Kuala Lumpur dalam meraih kejuaraan sulung liga futsal paling berprestij di tanah air tersebut.
Intan Sarah ketika dihubungi wakil Semuanya BOLA turut mengakui amat terharu dengan penghargaan yang diberikan terhadapnya.
”Sejujurnya gelaran pemain terbaik yang diberikan langsung tidak bermain di fikiran saya. Ini kerana saya sedar bahawa rakan sepasukan, Siti Asnidah Zamri telah memenangi gelaran tersebut untuk beberapa edisi kejohanan sebelum ini [Liga Futsal Kebangsaan].”
”Dia sememangnya seorang yang sangat pintar di dalam gelanggang. Tetapi malam itu tanpa disangka nama saya yang dipanggil. Ia nyata membuatkan saya sebak dan terharu. Namun begitu, saya merasakan saya layak untuk mendapatkan gelaran tersebut. Sekurang-kurangnya sekali dalam seumur hidup saya. ”
Kuala Lumpur terpaksa menunggu hingga ke perlawanan terakhir untuk memastikan kejuaraan edisi sulung menjadi milik mereka selepas dikejutkan Perak pada sirkit ketiga yang turut diadakan di Kompleks Sukan Negara Panasonic, Shah Alam.
”Selepas tewas kepada Perak, matlamat kami masih sama iaitu mahu menjadi juara pertama MPFL. Kami juga sedar bahawa impian akan tinggal impian dan hasrat tersebut bakal menjadi kabur sekiranya kami kehilangan mata pada sirkit keempat.”
”Dan kami juga tidak mahu mengharapkan ehsan pasukan lain untuk kehilangan mata. Dengan penyusunan jadual perlawanan yang baik, kami boleh memberi 100% persembahan dalam setiap perlawanan pada sirkit terakhir itu. Berbanding sirkit ketiga dimana player sangat kepenatan pada hari perlawanan oleh kerana hanya 10 jam waktu berehat.”
Dalam pada itu, Intan yang merupakan penjaring sembilan gol sepanjang kejohanan turut mengharapkan lebih banyak pasukan dapat bertanding dalam saingan MPFL dalam meningkatkan lagi pasukan futsal wanita negara.
Beliau juga mahu futsal wanita ini turut mendapat perhatian dan tumpuan daripada media seperti yang dinikmati oleh MPFL kategori lelaki.
”Sewajarnya sukan futsal wanita ini diberikan layanan yang sama dari pihak media dengan menyiarkan siaran langsung di kaca televisyen seperti kategori lelaki.”