Selangor terus mengukuhkan kedudukan pendahulu Liga Premier Futsal Malaysia (MPFL) 2019 apabila meraih kemenangan 2-1 ke atas Terengganu di Stadium Negeri Kuala Terengganu, semalam.
Membariskan pemain-pemain skuad kebangsaan, Selangor jelas memiliki kelebihan berbanding tuan rumah yang dilihat kurang menjadi dan di minit ke-8, Selangor sudah berada di depan.
Akmal Yazadh Amri berjaya meledak gol pembukaan dan pendahuluan buat pelawat menewaskan penjaga gol lawan menerusi percubaan mengelirukan daripada sudut sukar.
Sebelum gol tersebut dihasilkan, kedua-dua pasukan dilihat saling mengasak antara satu sama lain. Selangor hadir melalui percubaan Azri Rahman sementara Terengganu menerusi Akil Khalis.
Ketinggalan satu gol, Terengganu dilihat gagal mempamerkan kebangkitan malah berterusan ditekan dan hampir ketinggalan dua gol menerusi percubaan Azri Rahman di minit ke-13 namun ianya berjaya dikeluarkan oleh pemain tuan rumah di atas garisan gol.
Dua minit berselang, pelawat menggandakan gol apabila Faris Johan berjaya menjaringkan gol kedua buat Selangor hasil rembatan deras kaki kirinya dari luar kawasan gol Terengganu.
Tuan rumah cuba bangkit mengejar apabila mendominasi permainan namun kecemerlangan barisan pemain Selangor menafikan segala gerak yang direncanakan mereka.
Peluang terbaik Terengganu hadir pada minit ke-20 apabila Hafizi Ismal yang hanya berdepan penjaga gawang Selangor gagal memanfaatkan peluang tersebut menerusi percubaan tersasar.
Penjaga gol Terengganu, Luqman Hakim juga tampil cemerlang menyelamatkan gawangnya daripada terus dibolosi lawan 3 minit kemudian apabila menyelamatkan percubaan Shamsul Akmar.
Terengganu sekali lagi dikecewakan dengan sentuhan tidak menjadi apabila Akil Khalis gagal menewaskan penjaga gol Selangor, Syaifuddin Syukri biarpun hanya berdepan dengannya.
Selangor lebih mendominasi aksi di babak kedua namun kesilapan penjaga gol pelawat, Syaifuddin Syukri menghadiahkan sepakan penalti buat tuan rumah pada minit-minit akhir perlawanan.
Sepakan penalti tersebut disempurnakan oleh Hafizi Ismail namun ianya sudah terlambat buat mereka untuk bangkit mengejar.
Ini merupakan kemenangan kelima buat Selangor dan masih belum tewas dalam enam perlawanan dengan mengumpul 16 mata sementara Terengganu pula kekal di kedudukan ke-3.
Selain itu, ini merupakan kekalahan pertama anak didik Rozairi Ahmad di gelanggang sendiri dan kedudukan mereka boleh digugat Pulau Pinang dan Melaka yang turun beraksi pada hari ini.
Kredit Featured Images: Selangor MAC Futsal