Quantcast

BERITA

Pemain Melaka United Belum Terima Gaji Sejak Aidilfitri?

Hanya tiga perlawanan sahaja lagi akan berlangsung pada malam ini, sebelum Liga Super Malaysia 2019 secara rasmi melabuhkan tirai.

Sejak lima hari yang lalu, setiap pasukan di Liga Super dan Liga Premier juga telah menerima bayaran hak penyiaran masing-masing – punca kewangan yang dikatakan menjadi salah satu sebab terdapatnya beberapa persatuan dan kelab bergelut dengan masalah kewangan.

Sepatutnya fokus peminat dan penyokong beralih ke saingan Piala Malaysia setelah Liga Super dan Liga Perdana sah memastikan 16 pasukan yang akan bertanding di saingan Piala Malaysia.

FOTO: MUSA

Namun laporan daripada Berita Harian semalam mengejutkan ramai pemerhati bola sepak tanah air, apabila akhbar nasional itu mendedahkan Melaka United antara pasukan yang belum membayar gaji pemain.

Sejauh manakah kebenaran perkara ini? Bagaimana perkara ini boleh terlepas pandang tatkala Datuk Wira Mohd Yusuf Mahadi yang merupakan Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Melaka (MUSA) adalah Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Menurut sumber yang tampil melakukan pendedahan kepada Berita Harian, terdapat pemain-pemain Melaka United belum menerima gaji sejak dari Aidilfitri lalu.

Keratan laporan akhbar Berita Harian malam tadi.

“Situasi seperti ini memang membebankan kerana setiap bulan mereka memiliki komitmen dengan bank. Apabila bank menekan pemain, sudah pasti mereka juga mengharapkan pengurusan dapat selesaikan gaji mereka.

“Sebenarnya orang tidak tahu apa yang sedang dihadapi pemain. Malah mereka sebagai pemain profesional tidak mahu memanjangkan hal ini tetapi sampai bila mereka perlu tunggu?

“Kini tunggakan hampir memasuki tiga bulan dan kali terakhir pemain terima gaji adalah pada Ramadan lalu,” ujar individu tersebut ketika dihubungi oleh wartawan BH Sukan.

“Saya puji semangat pemain kerana walaupun tanpa gaji mereka beraksi baik. Sebelum ini pemain dimaklumkan pengurusan sedang mencari jalan penyelesaian terbaik.

FOTO: MUSA

“Pemain faham apa yang sedang dihadapi pihak pengurusan. Tetapi tolonglah selesaikan gaji mereka dengan kadar segera memandangkan Piala Malaysia makin hampir,” tambahnya lagi.

Sejauh manakah kebenaran dakwaan pemain-pemain Melaka United tidak menerima bayaran gaji?

Jika benar dakwaan ini, maka pemain juga harus bertanggungjawab melakukan aduan kepada FAM. Jika tidak, itu bermakna tiada kes untuk dibicarakan.

Melaka United menutup tirai saingan Liga Super musim ini dengan kekalahan 4-1 kepada Pahang pada malam tadi.

Sehingga artikel ini ditulis, belum ada sebarang kenyataan rasmi daripada Melaka United mengenai isu ini.