Quantcast

MPFL

MPFL 2019: Pahang Rangers Cipta Kemenangan Dramatik 4-3 Keatas KL City

Pahang Rangers menarik nafas lega apabila  berjaya mencatatkan kemenangan dramatik 4-3 menewaskan KL City FC dalam saingan Liga Premier Futsal Malaysia (MPFL) 2019, sebentar tadi.

Kejayaan ini terus menghidupkan peluang Pahang untuk mengejar pendahulu liga ketika ini, Selangor yang turut menang pada perlawanan petang tadi.

Pemain tonggak skuad kebangsaan, Mohd Khairul Effendy Mohd Bahrin mencuri tumpuan setelah berjaya meledak hatrik pada perlawanan yang berlangsung di Kompleks Sukan Negara Panasonic, Shah Alam ini.

Khairul Effendy tidak menunggu lama bagi meletakkan Pahang di hadapan apabila ledakannya seawal minit kedua gagal dihalang penjaga gol KL City FC, K. Dinesh.

Namun, kegembiraan pasukan pelawat itu hanya bertahan seminit selepas K. Dineshkumar melepaskan rembatan leret dari luar kawasan D yang menerjah gawang Pahang.

Jaringan tersebut jelas meningkatkan moral pemain KL City FC untuk terus memberikan tekanan buat skuad himpunan pemain kebangsaan itu.

Beberapa peluang menarik yang dimiliki KL City FC bagaimanapun dihampakan penyudah tumpul barisan anak buah Jerry Dinesh itu.

Ketika aksi babak pertama hanya tinggal beberapa saat untuk ditamatkan, Khairul Effendy menjadikan kedudukan 2-1 menerusi rembatan padu yang sekali lagi menewaskan K. Dinesh.

Empat minit selepas aksi babak kedua bersambung, Pahang Rangers mengukuhkan kedudukan untuk gol ketiga hasil ledakan Khairul Effendy, sekaligus melengkapkan hatrik pada perlawanan ini.

Ketinggalan dua jaringan langsung tidak mematahkan semangat KL City walaupun Pahang berterusan memberikan tekanan buat mereka.

Ia dibuktikan apabila KL City berjaya menjaringkan dua jaringan pantas di minit ke-36 menerusi sepakan penalti kedua oleh Fawzul Hadzir dan rembatan luar kawasan D daripada Iza Muhammad Hassan.

Pengalaman jelas memihak Pahang Rangers apabila Azrol Hairun muncul wira dengan jaringan kemenangan yang dihasilkannya pada minit ke-39.

Gol penting itu terhasil berikutan kesilapan kapten KL City FC, Muhammad Addli Che Hussin yang gagal mengawal bola dengan baik di kawasan tengah gelanggang.

Kemenangan dramatik ini membolehkan Pahang Rangers mengumpul 22 mata, empat mata dibelakang Selangor tetapi skuad bimbingan Taufik Yahyah itu kekurangan satu perlawanan berbanding pendahulu liga tersebut.

Pemain terbaik perlawanan: Mohd Khairul Effendy Mohd Bahrin (Pahang Rangers)

Kredit foto: Football Association of Malaysia (Official)