Selepas lebih dua minggu berehat, Pahang Rangers akan kembali turun ke gelanggang bagi menyambung aksi Malaysia Premier Futsal League (MPFL) 2019, dengan melayan kunjungan Kedah di Stadium Tertutup SUKPA, Kuantan pada Sabtu (13 Julai).
Skuad bimbingan Taufik Yahyah itu memulakan kempen dengan dua kemenangan masing-masing ke atas Kuala Lumpur (4-2) dan KL City (4-3) dan kini mereka mensasarkan mahu memburu kemenangan ketiga berturut-turut, dengan menjadikan Kedah sebagai mangsa terbaru.
Tonggak utama Pahang Rangers, Khairul Effendy Bahrin berkata motivasi di kem pasukan berada di tahap terbaik dan masing-masing sudah bersedia menyajikan satu lagi aksi bertenaga di hadapan penyokong sendiri.
“Berbanding pasukan lain, kita paling lama berehat berikutan penundaan aksi menentang Selangor, jadi saya harapkan tempoh rehat panjang tidak menjejaskan rentak permainan kita sebaliknya memberi kita ruang memperbaiki kelemahan.
“Kita sasar mahu kekalkan rekod bersih namun kami semua sedar Kedah tidak boleh dipandang sebelah mata. Mereka tidak akan beri laluan mudah, selepas tiga perlawanan mereka masih belum menang jadi sudah tentu Kedah akan cuba bangkit memburu kemenangan pada aksi ini.
“Mereka pastinya tidak mahu terus tercicir mata, jadi penting untuk kami fokus sepanjang perlawanan, mengelak buat kesilapan, bermain ikut sistem dan arahan jurulatih untuk meraih tiga mata,” ujar Khairul Effendy yang menggalas tanggungjawab selaku ketua pasukan berikutan kecederaan panjang dialami Akmarulnizam Idris.
Khairul Effendy yang juga kapten skuad futsal Harimau Malaya, turut memberikan kredit kepada penyokong Pahang Rangers yang disifatkannya sebagai luar biasa dan berharap mereka akan sekali lagi turun membanjiri SUKPA dan menyuntik kekuatan tambahan kepada pasukan.
“Sudah tentunya sorakan penyokong akan menjadi azimat utama buat pasukan, sepertimana mereka bangkitkan semangat kita ketika tewaskan KL City selepas ketinggalan 0-2 dan 2-3. Saya harap dapat saksikan sekali lagi suasana itu, saya dengar lebih 2,400 penyokong hadir ketika itu, kali ini biar lebih ramai, jadikan SUKPA sebagai lautan kuning,” kata Khairul Effendy.
Sebagai rekod, Pahang Rangers ketika ini di kedudukan ketiga dengan enam mata manakala Kedah pula di kedudukan ketujuh dengan dua mata hasil dua keputusan seri dan satu kekalahan.