Quantcast

BERITA TEMURAMAH

MPFL 2019: Hasrinizam Gembira Taktikal Menekan Kuala Lumpur Di Babak Kedua Berhasil

Pulau Pinang berjaya meraih satu mata berharga apabila terikat dengan keputusan 3-3 berdepan Kuala Lumpur dalam aksi kedua Liga Premier Futsal Malaysia (MPFL 2019) di Kompleks Sukan Azman Hashim Universiti Sains Malaysia (USM) pada Rabu lalu.

Ini membolehkan Pulau Pinang mengumpul empat mata daripada dua perlawanan dan berada di kedudukan ketiga liga di belakang Selangor dan Pahang. Terengganu yang kurang satu perlawanan berpeluang untuk menyamakan mata jika meraih mata penuh.

“Saya sangat gembira dan saya dapat melihat kesungguhan para pemain untuk meraih kemenangan dalam setiap perlawanan,” ujar penolong ketua jurulatih Pulau Pinang, Hasrinizam Hashim ketika ditemui Semuanya BOLA sejurus tamat perlawanan tempoh hari.

Sejujurnya dapat dilihat Pulau Pinang cuba bangkit dalam babak kedua untuk memenangi perlawanan namun kegagalan pemain memanfaatkan deretan peluang dan juga ketangkasan penjaga gol Kuala Lumpur, Alif Haiqal menafikan peluang tiga mata tersebut.

“Ia perlukan kesabaran dan ketenangan bila kita dalam keadaan tersebut. Ini yang perlu diterapkan kepada pemain. Kerana untuk melengkapkan pergerakan dengan jaringan gol, ia memerlukan banyak aspek dan ketelitian,” ujar Hasrinizam lagi.

Haziq Yusoff, Futsal, Pulau Pinang

FOTO: Liga Futsal Pulau Pinang

Situasi yang sama berlaku ketika meraih kemenangan besar 7-5 ke atas KL City FC pada perlawanan pertama, skuad kendalian Abdul Gaffar Hoosen mempamerkan aura kebangkitan di babak kedua.

Ketinggalan 1-3 pada babak pertama, Pulau Pinang tampil bangkit meledak dua gol menerusi Fakhrul Islam dan kapten, Haziq Yusoff untuk mengikat keputusan dalam perlawanan yang sengit itu.

Hasrinizam menjelaskan kepada Semuanya BOLA yang bukanlah mudah untuk setiap kali bangkit mengejar gol di babak kedua seperti yang mereka lakukan dalam dua perlawanan setakat ini.

“Bukan sesuatu yang mudah kerana ia perlukan kesabaran dan kesungguhan semua pemain. Taktikal yang kita terapkan untuk menekan pihak lawan di kawasan mereka berjaya,” ujarnya.

“Kita berterusan memberi semangat kepada para pemain dan tanamkan mentaliti kemenangan kepada mereka. Taktikal untuk menembusi pihak lawan juga ditekankan agar kita tahu bagaimana untuk merobek gol lawan dengan menyerang kawasan yang mereka lemah,” tambahnya lagi sebelum menutup bicara.