Quantcast

KAJIAN & FAKTA

MPFL 2019: 7 Fakta Menarik Yang Dapat Disaksikan Pada Minggu Ke-4

Persaingan Liga Premier Futsal Malaysia (MPFL) 2019 yang baru memasuki minggu keempat memperlihatkan keampuhan Selangor bagi mengukuhkan cengkaman di singgahsana liga selepas berjaya menundukkan Pulau Pinang di USM.

Selain itu, kebangkitan dramatik Melaka United yang mengecewakan Kedah 4-3 turut menghangatkan lagi kancah futsal kelas tertinggi tanah air itu.

Terengganu turut cemerlang dengan kemenangan menentang Kuala Lumpur di laman sendiri dan dua pasukan kelompok bawahan, Perak dan Kuala Lumpur City FC berkongsi mata apabila terikat 4-4 malam tadi.

Semuanya BOLA berkesempatan untuk menyingkap tujuh fakta atau perkara menarik yang dapat disaksikan sekitar perlawanan minggu keempat ini.

1) Dua pemain meledakkan hatrik

Pemain Terengganu FC, Mohd Hafiz Ismail dan kapten Kuala Lumpur City, Muhammad Muzhaffar Mohd Tahar mempamerkan ketajaman penyudah setelah berjaya meledakkan hatrik.

Mohd Hafiz Ismail dipilih pemain terbaik perlawanan yang menerima kasut futsal jenama JOMA. Kredit foto: Terengganu FC Futsal Team

Hafiz melakukannya pada minit ke-16, 31 dan 38 manakala Muzhaffar atau lebih mesra dengan panggilan ‘Boy’ dalam kalangan penggiat futsal tanah air itu menjaringkan gol di minit ke-7, 21 dan 28.

2) Hatrik berturut-turut buat Terengganu FC

Ledakan hatrik daripada Mohd Hafiz itu bukanlah yang pertama buat Terengganu FC pada edisi sulung MFPL ini.

Ia merupakan kali kedua secara berturut-turut selepas Ahmad Akil Khalis Adli Khairuz cemerlang dengan tiga gol pada minggu lalu bertemu Pulau Pinang.

Lebih manis buat Terengganu FC, kedua-dua ledakan hatrik tersebut terhasil di Stadium Negeri Kuala Terengganu.

3) Pendahulu penjaring terbanyak berpindah milik

Jika sebelum ini empat pemain iaitu Muhammad Fariq Mohammad (Selangor), Saiful Nizam Mohd Ali (Pahang), Ahmad Akil Khalis Adli Khairuz (Terengganu FC) dan Mulhim Muqri Faisal dari Kuala Lumpur berkongsi senarai penjaring terbanyak, kedudukan itu telah berubah pada minggu keempat.

Ledakan hatrik daripada Muzhaffar di Ipoh telah meletakkannya sebagai pendahulu terkini senarai penjaring terbanyak.

4) Jaringan ‘sepakan penalti kedua’ mula terhasil

Mungkin ada yang masih kurang mengetahui bahawa sekiranya lebih daripada ‘lima’ kesalahan yang dilakukan setiap pasukan, lawan akan terus dihadiahkan sepakan penalti kedua yang lebih dikenali sebagai ‘Second Spot’.

Selepas tiga minggu saingan berlangsung masih tiada jaringan dapat dihasilkan menerusi sepakan tersebut.

Tetapi pada minggu keempat ini, tiga sepakan telah berjaya disempurnakan apabila pemain Melaka, Muhammad Ekmal Shahrin menjadi penjaring sulung sepakan penalti kedua itu.

Dua lagi gol menjelma menerusi pemain Selangor, Mohamad Sufri Syamil dan Idham Shafuan Iraman dari Terengganu.

5) Kemenangan terbesar dan cemerlang tanpa bolos

Pendahulu liga, Selangor terus cemerlang dengan kemenangan besar 6-0 menewaskan Pulau Pinang.

Kecemerlangan itu diikuti Terengganu yang turut mencatatkan keputusan sama ketika bertemu Kuala Lumpur.

Ia merupakan rekod kemenangan terbesar dicatatkan dalam saingan MPFL 2019 selepas sebelum ini rekod kemenangan terbesar menjadi milik Selangor selepas menundukkan Perak 5-0 di Shah Alam.

Kejayaan itu sekaligus menjadikan kedua-dua pasukan tersebut berjaya mengelakkan dari dibolosi sepanjang perlawanan.

6) Azrul Hadee hanya dibolosi satu gol selepas 100 minit aksi

Seiring dengan status sebagai penjaga gol utama skuad kebangsaan, Azrul Hadee Mohd Taufiq mempamerkan ketangkasan mengagumkan bersama Selangor.

Selepas 100 minit permainan dilaluinya, Hadee hanya dibolosi satu gol iaitu pada pertembungan bertemu Melaka United, dua minggu lalu.

 

Kredit foto: Selangor MAC Futsal

Menentang Pulau Pinang semalam, Hadee beraksi baik sekaligus berjaya mengelakkan gawangnya dari dibolosi pada separuh masa pertama.

Baki 20 minit pada babak kedua menyaksikan beliau direhatkan.

7) Tengku Azraf ikuti jejak langkah Azrul Hadee & Syahman

Sebelum ini Azrul Hadee dan Syahman Idris (Melaka United) menjadi penjaga gol yang tidak dibolosi dalam satu aksi penuh perlawanan.

Kemenangan 6-0 Terengganu menewaskan Kuala Lumpur membolehkan penjaga gol mereka, Tengku Azraf Fahmi Che Ku Sulong turut sebaris dengan dua penjaga gol berpengalaman itu.

Tengku Azraf yang sudah beraksi selama 80 minit (dua perlawanan) turut hanya dibolosi satu jaringan iaitu pada pertemuan minggu lalu menentang Pulau Pinang.

Pemain terbaik pilihan Semuanya BOLA & Arena Futsal Malaysia

Kedudukan terkini MPFL 2019

Grafik: Arena Futsal Malaysia