Quantcast

MPFL TEMURAMAH

MPFL 2019: 4 Pemain Baharu Pulau Pinang Diperlukan Untuk ‘Matangkan’ Pasukan

Bercakap kepada Semuanya BOLA, penolong jurulatih skuad futsal Pulau Pinang, Hasrinizam Hashim nyata lega apabila 2 daripada 4 pemain baharu yang ditandatangani telah menyumbang kepada kemenangan ke atas KL City FC, lewat petang semalam.

Dalam saingan minggu ke-10 Liga Premier Futsal Malaysia (MPFL) 2019 semalam, Pulau Pinang akhirnya berjaya melupakan badi kekalahan di halaman sendiri apabila merekodkan kemenangan 4-3 ke atas KL City FC di Kompleks Sukan Azman Hashim USM.

Kemenangan ini merupakan yang ketiga buat mereka dan yang pertama setelah tewas dua perlawanan berturut-turut iaitu kepada dua seteru seutara, Kedah (tewas 2-4) dan Perak (tewas 3-8).

“Alhamdulillah. Akhirnya kami berjaya mendapat tiga mata penting di laman sendiri dan ia satu permulaan yang baik. Prestasi pemain bertambah semangat dengan kedatangan pemain baharu yang turut menyumbang dua gol,” ujarnya sejurus perlawanan.

Dua penjaring gol yang baru menyertai Pulau Pinang di jendela perpindahan ini adalah Shazni Hariz dan Amar Ashraf, kedua-duanya meledak gol penting dalam kemenangan tersebut.

Redzuan Nawi futsal Pulau pinang

FOTO: FA Penang

Shazni Hariz terlebih dahulu menjaringkan gol penyamaan buat Pulau Pinang sebelum Amar Ashraf meletakkan pasukannya itu kembali di depan sebelum wisel penamat ditiupkan.

Tuan rumah telah ketinggalan dua gol sebelum mempamerkan kebangkitan dramatik di penghujung aksi bermula pada minit ke-33 apabila pemain KL City FC, Joshua Lee menjaringkan gol sendiri.

“Masih banyak yang perlu diperbaiki dari segi skil individu dan persefahaman pasukan,” jelas Hasrinizam Hashim mengenai prestasi keseluruhan selepas bangkit memenangi aksi ini.

Menurutnya lagi, kemasukkan pemain baharu yang berpengalaman telah membantu mempercepatkan proses pembentukkan pasukan dan ianya dibuktikan dengan kemenangan berharga ini.

Bercakap mengenai pemain baharu yang juga merupakan bekas pemain bola sepak Pulau Pinang, Redzuan Nawi yang tampil beralih kepada sukan futsal, pemilihannya adalah atas faktor komitmen dan disiplin yang tinggi serta mampu bertahan dengan tekanan.

“Selaku pemain futsal, Redzuan Nawi dilihat masih dalam proses menyesuaikan diri dalam sistem permainan malah sudah bersedia jika hendak diturunkan pada bila-bila masa,” tambahnya lagi.

Ketika ini Pulau Pinang berada di kedudukan ke-7 liga, berkongsi kedudukan bersama Melaka United serta hanya satu mata di belakang 3 pasukan iaitu Terengganu, Perak dan juga Kedah.

Kredit Featured Image: FAM